London: Olivier Giroud meledak selepas dua minit dimasukkan selaku pemain gantian sebelum Mesut Ozil menyudahkan sepakan terakhir perlawanan membantu Arsenal menang 2-0 ke atas Bayern Munich awal pagi tadi.
Penyerang Perancis itu menggantikan Theo Walcott menanduk masuk hantaran Santi Cazorla pada m-77 untuk menceriakan skuad Arsene Wenger beraksi di stadium Emirates.
Kejayaan menyegarkan semula kempen The Gunners selepas tewas dua perlawanan awal Kumpulan F.
Keputusan menamatkan 12 kemenangan Bayern dalam semua pertandingan dan meneruskan perjuangan Arsenal mencari slot ke peringkat kalah mati.
Bayern dan Olympiakos Piraeus mengumpul enam mata sementara Dinamo Zagreb dan Arsenal, masing masing tiga.
"Mereka menguasai perlawanan tetapi kami tahu mereka biasa melakukannya. Apapun kami masih mampu menjaringkan gol dan menamatkan saingan dengan penyudah Mesut pada penghujung perlawanan," kata Giroud.
"Kami menentang pasukan fantastik. Kemenangan bagus untuk masa depan."- Reuters