AFP

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menganggap kekalahan 0-1 pasukannya di tangan Swansea City sebagai ‘satu kemalangan’ dan mencabar pemain supaya menebus kegagalan itu apabila berkunjung ke Manchester United, Ahad ini.

Arsenal mendominasi permainan di Stadium Emirates awal pagi semalam, namun selepas dikecewakan bekas penjaga gol mereka, Lukasz Fabianski, mereka tersungkur pada minit ke-85 apabila David Ospina gagal menolak keluar tandukan pemain gantian Swansea, Bafetimbi Gomis.

United boleh merampas kedudukan Arsenal di tangga ketiga sekali gus kelayakan automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara jika menang hujung minggu ini.

Wenger berasa jengkel ketika sidang akhbar selepas perlawanan itu dan menegaskan Swansea ‘enggan bermain sebaliknya hanya bertahan’.

“Kami masih ada kelebihan satu perlawanan,” kata pengendali Perancis itu, pasukannya menentang Sunderland pada 20 Mei ini sebelum berdepan West Brom pada hari terakhir musim.

“Yang penting bangkit Ahad ini dan membuktikan ia hanya satu kemalangan. Itu perkara paling penting.”

Arsenal menang sembilan daripada 10 perlawanan terakhir, hanya tercicir mata ketika seri tanpa jaringan dengan Chelsea dan menampilkan pasukan sama bagi perlawanan kelima berturut-turut buat kali pertama sejak Januari 1994.

Mereka mengambil masa hingga minit ke-59 sebelum melakukan percubaan tepat dan sekalipun mencipta lapan lagi percubaan tepat, mereka gagal melepasi Fabianski, yang menyelamatkan percubaan Olivier Giroud, Santi Cazorla, Theo Walcott (dua kali), Nacho Monreal, Aaron Ramsey dan Alexis Sanchez.

“Kami menjaringkan banyak gol hinggalah akhir-akhir ini,” jelas Wenger, yang berasa penyerangnya bersalah kerana penyudah yang terlalu gopoh.

“Tapi mereka bertahan dengan baik. Mereka hadir hanya untuk bertahan, dengan empat pertahanan dan enam pemain tengah. Mereka bertahan, begitulah. Jika menang, anda fantastik. Jika kalah orang akan berkata kepada anda, ‘Kenapa anda tidak bermain?’.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:22 AM