West Bromwich: Arsene Wenger berdepan masalah besar apabila tiga lagi pemainnya mengisi senarai panjang kecederaan ketika menang 1-0 ke atas West Bromwich Albion.

Nacho Monreal terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut pada babak pertama di Hawthorns, Sabtu lalu manakala penggantinya, Kieran Gibbs mengalami kecederaan pergelangan kaki. Seorang lagi pemain gantian, Alex Oxlade-Chamberlain menerima nasib sama.

Keadaan itu membuatkan ketiga-tiga pemain itu belum tentu boleh diturunkan ketika Arsenal melayan kunjungan Southampton Rabu ini dengan Gunners semakin terdesak walaupun Wenger sudah boleh menurunkan Laurent Koscielny selain Olivier Giroud yang semakin sembuh.

Kapten Mikel Arteta, Jack Wilshere, Wojciech Szczesny, Yaya Sanogo, Theo Walcott, Mesut Ozil, Mathieu Debuchy, David Ospina dan Abou Diaby semuanya tidak beraksi kelmarin.

“Chamberlain, Monreal dan Gibbs semuanya berdepan kecederaan tapi saya tidak tahu sejauh mana seriusnya masalah itu,” kata Wenger.

“Gibbs berdepan masalah pergelangan kaki. Monreal dan Chamberlain pula kecederaan lutut. Kami perlu menunggu hingga Isnin (hari ini) untuk mengetahui sejauh mana tahap kecederaan mereka.”

Danny Welbeck menjaringkan gol selepas sejam permainan apabila menanduk masuk hantaran lintang Santi Cazorla.

Dua kekalahan berturut-turut dalam aksi terakhir membuatkan kedudukan Wenger mula diperkatakan ramai.

Begitupun, keputusan ke atas West Brom membuatkan masa depan pengendali Arsenal itu semakin kukuh terutama selepas mereka mengalahkan Borussia Dortmund serta layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Wenger bagaimanapun enggan mengulas mengenai kedudukannya dan berkata: “Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu. Kita tidak boleh menghalang orang daripada bercakap kerana kita hidup di dalam komuniti. Tapi kita hidup bukan disebabkan apa yang mereka perkatakan tapi atas apa yang kita lakukan.”

Pada perlawanan menentang West Brom, Arsenal dilihat mengamalkan corak bertahan sambil sesekali melakukan serangan balas pantas dan Wenger berkata beliau puas hati dengan persembahan anak buahnya.

“Kami menguasai perlawanan dengan baik dan dapat menjaringkan gol,” kata Wenger.

“Hantaran lintang Santi Cazorla membolehkan kami menjaringkan gol. Dia turut mempunyai beberapa peluang pada babak pertama. Dia tidak menjaringkan gol ketika ini tetapi hantarannya memang terbaik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:06 AM