LEVERDEZ bakal beri tentangan sengit.
LEVERDEZ bakal beri tentangan sengit.
CHONG Wei gagal mara ke suku akhir dalam dua kejohanan sebelum ini.
CHONG Wei gagal mara ke suku akhir dalam dua kejohanan sebelum ini.
 Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sentiasa tersungkur pada peringkat awal sejak kebelakangan ini jelas merisaukan Hendrawan selaku jurulatih Datuk Lee Chong Wei menjelang aksi pusingan pertama Terbuka Perancis berdepan wakil tuan rumah, Brice Leverdez hari ini.

Menurut Hendrawan, walaupun bertemu Leverdez yang menghuni ranking ke-32 dunia, ia tidak boleh dipandang sebelah mata berdasarkan peningkatan mendadak pemain berusia 29 tahun itu di Siri Super Perdana Terbuka Denmark minggu lalu.

“Memang bukan halangan sukar buat Chong Wei ketika bertemu Brice tapi dia perlu fokus sepenuhnya kerana lawannya itu juga beraksi cemerlang di Terbuka Denmark minggu lalu,” kata bekas perseorangan Indonesia itu kepada Arena Metro.

Jelasnya, walaupun Leverdez tersungkur di pusingan pertama di Terbuka Denmark, namun dia mampu memberi tentangan sengit kepada pemain China Tian Houwei sebelum tumpas 21-19, 2-21, 19-21.

“Brice beraksi baik di Denmark dengan mengheret perlawanan sehingga ke set penentuan, jadi apa yang saya harapkan esok (hari ini) Chong Wei terus fokus tanpa perlu menunggu perlawanan pusingan kedua,” kata Hendrawan.

Jika melepasi halangan Leverdez, Chong Wei bakal bertemu pemenang antara Victor Axelsen (Denmark) dan Wei Nan (Hong Kong) di pusingan kedua.

Chong Wei sudah pasti mahu bertemu Wei Nan bagi membalas dendam kekalahannya minggu lalu apabila tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Denmark dengan kekalahan straight set 18-21, 19-21.

Berdasarkan undian jika melepasi pusingan kedua, Chong Wei menanti sama ada Kento Momota (Jepun), Sho Sasaki (Jepun) atau jaguh Korea Selatan, Son Wan Ho di suku akhir.

Bagaimanapun, pemain nombor satu dunia, Chen Long berada dalam undian sama dan bakal bertemu di separuh akhir jika Chong Wei melangkah sejauh itu.

Turut beraksi di pusingan pertama hari ini beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang akan menentang pasangan China Chai Biao-Hong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 8:28 AM