Ferzalfie Fauzi


BADI tewas pada pusingan awal terus menghantui jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) apabila tewas di Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Chong Wei, 35, ditunjuk jalan keluar oleh pemain dari Jepun yang mara dari pusingan kelayakan dan menduduki ranking ke-40 dunia, Kenta Nishimoto 14-21, 15-21 dalam aksi selama 37 minit di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

Ini kali keempat tahun ini Chong Wei yang menduduki ranking ketujuh dunia tumpas di pusingan awal selepas kalah kepada HS Prannoy dari India di pusingan kedua Terbuka Indonesia dan Denmark, serta dimalukan Brice Leverdez pada pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, permainan Chong Wei ketika menentang pemain berusia 23 tahun itu serba tidak menjadi dan ragu-ragu dalam membuat keputusan di dalam gelanggang.

“Pemain Jepun itu dapat mengawal keseluruhan permainan di atas kelemahan Chong Wei. Selepas Terbuka Denmark dan Perancis, dia akan berehat seketika kerana sekarang ini dia kerap hilang fokus serta sering melakukan kesilapan mudah,” katanya ketika dihubungi.

“Jadi, apabila pulang ke tanah air, kita akan bincang dan cuba cari penyelesaian yang terbaik,” kata jurulatih kelahiran Indonesia itu.

Sementara itu, nasib berbeza buat beregu lelaki negara, Goh V Shem-Teo Ee Yi yang tidak berdepan masalah membenam cabaran wakil Hong Kong, Or Chin Chung-Tang Chun Man walaupun ini penampilan sulung mereka sejak membentuk gandingan bersama sebulan lalu.

V Shem-Ee Yi berjaya mencatat kemenangan straight set 21-10, 21-15 dan bakal berdepan pilihan kelima dari China, Liu Cheng-Zhang Nan pada pusingan kedua.

“Kami bermain dengan baik dan sangat konsisten. Saya harap ia dapat diteruskan untuk aksi pusingan kedua menentang juara dunia dari China itu. Dari segi kelemahan, saya rasa kami harus perbaiki kombinasi permainan,” kata V Shem.

Turut mara ialah gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengalahkan pasangan Thailand, Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kithitharakul 22-20, 21-13 dan mereka akan berdepan pemain tuan rumah, Ronan Labar-Audrey Fontaine pada pusingan kedua.

Bagaimanapun, satu lagi gandingan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai kurang bernasib baik selepas tumpas pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Ha Na 16-21, 14-21.

Pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula tumpas kepada Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto dari Jepun, 22-24, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 8:57 PM