Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Belajar daripada kesilapan. Datuk Lee Chong Wei (gambar) diberikan nasihat berguna jurulatihnya, Hendrawan menjelang aksi pusingan pertama Siri Super Perdana Terbuka Denmark hari ini bertemu wakil India, Kashyap Parupalli.

Menurutnya, walaupun Chong Wei bekas pemain nombor satu dunia dan memenangi beberapa kejohanan sebelum ini tetapi dia tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain pilihan kelapan itu.

“Setakat ini saya lihat semuanya berjalan lancar buat Chong Wei menjelang aksi di sini. Ia termasuk dari segi semangat dan tahap kecergasannya cuma dia tidak boleh memandang remeh kemampuan Kashyap,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, Chong Wei ada memberitahu kepadanya semalam untuk cuba memberikan aksi terbaik selepas prestasi mengecewakan pada Siri Super Terbuka Jepun dan Korea Selatan bulan lalu termasuk tersingkir pada pusingan kelayakan di Seoul.

Nasihat yang diberikan Hendrawan itu tepat sekali kerana sebelum ini pada Terbuka Korea Selatan, pemain berusia 32 tahun itu dikejutkan pemain muda tuan rumah Heo Kwang Hee apabila tumpas straight set 19-21, 19-21 pada perlawanan kelayakan pertama.

Selepas berjaya memperbaiki ranking dengan menduduki tangga ke-25 dunia, Chong Wei tidak perlu lagi melalui pusingan kelayakan di Denmark dan jika melepasi halangan Kashyap menantinya di pusingan kedua adalah pemain Hong Kong, Wei Nan.

Bagaimanapun, laluan Chong Wei dijangka bertambah sukar pada suku akhir apabila dijangka bertemu pemain nombor satu dunia, Chen Long dari China dan menantinya di separuh akhir pula ialah musuh tradisi, Lin Dan.

Turut beraksi hari ini beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang berdepan pilihan keempat dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen dan menanti mereka pada pusingan kedua adalah pemenang antara Michael Fuchs-Johannes Schoettler (Jerman) atau Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi (Indonesia).

Sementara itu, beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula akan bertemu wakil England, Heather Olver-Lauren Smith manakala Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho menentang pilihan kelapan dari China, Ma Jin-Tang Yuanting.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:08 AM