Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak berdepan masalah menumpaskan pemain tuan rumah Brice Leverdez pada perlawanan pusingan pertama Terbuka Perancis malam tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mencatat kemenangan 21-7, 21-15 dalam perlawanan berlangsung 39 minit di Stade Pierre de Coubertin

Menanti Chong Wei di pusingan kedua hari ini pemenang antara pilihan ketujuh, Victor Axelsen (Denmark) atau Wei Nan (Hong Kong) yang berlangsung awal pagi tadi.

Minggu lalu Chong Wei tersingkir awal di Siri Super Perdana Terbuka Denmark apabila kalah mengejut kepada Wei Nan 18-21, 19-21, sekali gus mengimbau kembali mimpi buruk di Terbuka Jepun (kalah pusingan kedua) dan Terbuka Korea Selatan (tewas pusingan kelayakan).

Bagaimanapun, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng tersingkir apabila tumpas di tangan wakil Jepun Sho Sasaki 18-21, 11-21 dalam perlawanan yang berlangsung 40 minit.

Turut tersingkir kedua-dua beregu wanita negara, apabila Vivian Hoo-Woon Khe Wei kalah kepada pilihan ketiga dari Denmark Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 21-19, 19-21, 10-21.

Gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pula tumpas di tangan beregu Korea Selatan Chae Yoo Jung-Kim So Yeong 14-21, 16-21.

Menurut Amelia, pemain lawan jelas sekali mempamerkan permainan konsisten dalam perlawanan semalam berbanding dia dan Fie Cho sehingga menyebabkan mereka tumpas menerusi straight set.

“Sebenarnya kami sudah berhempas-pulas untuk memberi tentangan kepada mereka. Bagaimanapun, dalam masa sama kami membuang mata dengan begitu mudah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pemain kelahiran Sabah itu juga berkata, ini kali pertama mereka bertemu pasangan berkenaan dan selepas ini diharap bangkit semula dengan harapan mampu melepasi pusingan pertama di Terbuka Jerman, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 8:33 AM