Berlin: Rekod jaringan Robert Lewandowski musim ini sangat membanggakan, sekali gus membuatkan rakan sepasukannya di Bayern Munich David Alaba merasakan penyerang Poland itu mungkin berjaya mengatasi catatan pernah dilakukan Gerd Muller pada saingan Bundesliga 1972 iaitu 40 gol semusim.

Menjelang perlawanan kesembilan minggu ini, pemain antarabangsa yang dilahirkan di Warsaw berusia 27 tahun itu boleh berbangga dengan catatan 12 jaringan termasuk lima gol yang dihasilkan dalam tempoh sembilan minit ketika membelasah Wolfsburg bulan lalu.

Bayern yang menang lapan perlawanan pertama untuk mendahului Bundesliga dengan kelebihan tujuh mata berbanding Borussia Dortmund, bakal bertandang ke Werder Bremen esok.

“Empat puluh gol mungkin sasaran tinggi, tetapi tidak ada yang mustahil baginya,” kata pertahanan Austria Alaba selepas sesi latihan kelmarin.

Rekod jaringan peribadinya hadir pada musim 2012-2013 apabila meledak 24 gol buat Dortmund dan dia menghasilkan 17 jaringan bersama Bayern musim lalu, sekali gus membantu kelab itu muncul juara buat kali ketiga.

Sesetengah penyokong mungkin tidak percaya dengan apa diperkatakan Alaba kerana rekod jaringan 565 gol yang dipegang Muller sepanjang 65 aksi bersama Bayern sudah bertahan selama lebih 15 tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:48 AM