Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO AFP
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO AFP
AFP

Berlin: Robert Lewandowski boleh memburu satu lagi catatan baharu malam esok dalam usahanya mengatasi jaringan terbanyak sepanjang zaman Gerd Mueller dengan 40 gol semusim dalam Bundesliga.

Penyerang Bayern Munich meledak hatrik ketika menang ke atas Dortmund, 4-2 dalam aksi 'Klassiker' Jerman minggu lalu sekali gus membolehkannya mencetak 31 gol dalam kempen liga musim ini.

Keputusan itu memberikan pasukan juara bertahan berkenaan kelebihan dua mata di puncak Bundesliga.

Dengan berbaki 10 perlawanan liga, Lewandowski hanya kurang sembilan gol daripada rekod menakjubkan Mueller dicipta pada 1971/72, dengan ramai beranggapan ia tidak akan dapat diatasi.

Berdepan Werder Bremen esok, Lewandowski hanya memerlukan satu gol untuk menyamai jaringan Klaus Fischer sebanyak 268 gol Bundesliga.

Hanya legenda Bayern, Mueller menjaringkan lebih banyak gol dalam liga utama Jerman dengan 365 gol dalam 427 perlawanan liga.

Fischer yang beraksi buat 1860 Munich, Schalke, Cologne, dan Bochum antara 1968 dan 1988, menyokong Lewandowski untuk memperbaharui rekod Mueller.

"Dia (Lewandowski) ada peluang besar," kata Fischer kepada majalah Kicker.

"Dia perlukan sembilan gol dalam 10 perlawanan terakhir.

"Dengan cara musim berlangsung hingga sekarang, anda boleh katakan ia realistik."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 10:26 AM