KAEDAH BNPL juga mempunyai keburukannya iaitu akan menggalakkan pengguna melaksanakan perbelanjaan yang bersifat impulsif sehingga mengakibatkan perbelanjaan berlebihan dari kapasiti kewangan. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
KAEDAH BNPL juga mempunyai keburukannya iaitu akan menggalakkan pengguna melaksanakan perbelanjaan yang bersifat impulsif sehingga mengakibatkan perbelanjaan berlebihan dari kapasiti kewangan. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Nurul Ashikin Alias

Perkembangan trend semasa perniagaan di platform e-dagang menunjukkan perubahan yang pantas dan lebih mendapat sambutan sejak berlaku pandemik Covid-19. Sebelum wujudnya era perniagaan platform e-dagang, kaedah pembelian yang dilakukan oleh pengguna adalah secara konvensional iaitu pengguna perlu ke kedai secara fizikal dan membeli untuk mendapatkan barang yang dikehendaki. Namun, kini terdapat pelbagai platform e-dagang di pasaran sama ada Shopee, Lazada, Ebay, Etsy dan pelbagai lagi yang saling bersaing antara satu sama lain.

Bagi menarik pengguna untuk menggunakan platform itu, pelbagai strategi pemasaran dan perniagaan yang sudah dilakukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan berkenaan. Antara strategi perniagaan yang dilakukan adalah dengan memperkenalkan kaedah pembayaran melalui Buy Now Pay Later (BNPL) atau Beli Dahulu Bayar Kemudian. Melalui kaedah ini seseorang individu boleh membeli sesuatu item dan membayar item itu pada bulan berikutnya atau selepas barang berkenaan diterima, di mana pembayaran boleh dilakukan sama ada secara keseluruhan atau ansuran. Kaedah sistem pembayaran BNPL sudah pun diterima pakai secara meluas di Eropah untuk tempoh yang agak lama, bagaimanapun ia sudah mula berkembang di pasaran Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai antara penyelesaian pembelian dalam talian.

Melalui konsep pembayaran BNPL juga sudah membuktikan bahawa 'kad kredit' mampu ditemui di mana-mana sahaja tanpa memerlukan kewujudan kad itu secara fizikal. Perkara yang membezakan pemilik kad kredit dan pengguna BNPL adalah seseorang individu perlu mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang stabil bagi memboleh pihak bank mengeluarkan kad kredit untuk kegunaan pengguna. Berlainan pula dengan kaedah kredit pembayaran BNPL di mana pelbagai lapisan pengguna sama ada pelajar kolej, suri rumah, penganggur dan remaja yang mempunyai pengetahuan digital akan dapat menggunakan kelebihan itu tanpa mengambil kira status pendapatan semasa individu.

Konsep BNPL sekiranya dilihat pada permukaan dapat dinilai sebagai suatu kaedah yang mampu membantu pelanggan berpotensi dalam pasaran untuk mendapatkan barang keperluan. Namun, tanpa sedar pada hakikatnya BNPL ini adalah antara perangkap halus kewangan yang mampu memerangkap seseorang individu dalam krisis kewangan lebih besar secara perlahan-lahan.

Kebiasaannya keadaan sudah terlambat ketika individu terbabit menyedari krisis kewangan yang berlaku, Jika dilihat dari kedua-dua perspektif, kaedah BNPL ini mempunyai kebaikan dan keburukan bergantung kepada bagaimana seseorang individu itu menggunakan kemudahan ini.

Dari sudut positif, kaedah pembayaran BNPL akan memberikan beberapa kelebihan kepada pengguna seperti membabitkan proses permohonan yang mudah dan cepat kerana tidak membabitkan kelayakan spesifik (tiada had umur, tiada kelayakan khusus dan tidak memerlukan kelayakan skor kredit). Keadaan ini akan memudahkan urusan pembelian mengejut di pihak pelanggan disebabkan tiada faedah atau faedah yang lebih rendah dikenakan berbanding kad kredit. Namun, di sebalik kelebihan, kaedah BNPL juga mempunyai keburukannya iaitu akan menggalakkan pengguna melaksanakan perbelanjaan yang bersifat impulsif sehingga mengakibatkan perbelanjaan berlebihan dari kapasiti kewangan.

Hal ini kerana individu terbabit akan merasakan bahawa dia masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kapasiti hutangnya disebabkan oleh jumlah hutang yang sudah dipecahkan kepada nilai-nilai yang lebih kecil untuk satu tempoh waktu sehingga membuatkan individu cenderung berpendapat bahawa mereka masih mampu untuk menampung hutang kewangan yang lain. Walaupun pada hakikatnya nisbah kewangan terhadap jumlah pendapatan semakin meningkat.

Menurut saranan yang diberikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga nisbah hutang kepada pendapatan yang berada dalam kategori baik adalah 45 peratus dan ke bawah.

Selain itu, melalui kaedah BNPL ini juga sekiranya pembayaran lewat atau gagal melakukan pembayaran kembali akan mengakibatkan yuran pembayaran lewat dan caj tambahan akan dikenakan. Ini akan menjejaskan nilai kredit skor seseorang individu.

Kesimpulannya, adalah penting untuk setiap individu sentiasa melengkapkan diri agar mampu menjadi pembeli yang bijak dan berhemah sebelum memasuki pasaran. Antara nasihat yang biasa saya sampaikan kepada masyarakat dan juga individu adalah kita tidak dapat menyalahkan atau menghalang sesebuah syarikat dari melaksanakan strategi perniagaan dan pemasaran bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Namun, kita sebagai pengguna seharusnya lebih 'bijak' dalam bertindak dan menggunakan sebarang kemudahan yang telah disediakan. Bijak dalam erti kata di sini adalah anda perlu menjadi seorang pengguna yang mempunyai ilmu kewangan yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

Selain itu, perlu sentiasa memastikan emosi anda sentiasa dalam keadaan terkawal dan stabil ketika menguruskan kewangan anda. Hanya dengan ilmu pengetahuan dan emosi yang stabil sahaja akan memastikan anda mampu menjadi pembeli yang bijak dan berhemah.

Penulis Felo Penyelidik, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:01 AM