TONI Kroos yakin Jerman akan beraksi di final Euro 2024. FOTO REUTERS
TONI Kroos yakin Jerman akan beraksi di final Euro 2024. FOTO REUTERS
AFP

Herzogenaurach: Veteran Jerman yang bakal bersara, Toni Kroos berkata. dia yakin perlawanan suku akhir Euro 2024, Sabtu ini menentang Sepanyol tidak akan menjadi perlawanan terakhir dalam kariernya.

Kroos mengumumkan pada Mei lalu bahawa dia akan menggantung but selepas Euro di tanah air, bermakna perlawanan minggu ini di Stuttgart boleh menjadi perlawanan terakhirnya.

Rakan sepasukannya di Real Madrid, Joselu minggu ini berkata, dia ingin 'menghantar Kroos ke dunia persaraan' tetapi pemain tengah berusia 34 tahun itu sudah menetapkan sasarannya pada perlawanan akhir Euro 14 Julai ini di Berlin.

"Kami masih lagi berada dalam kejohanan ini," kata Kroos kepada wartawan pada hari di kem asas Jerman di kampung Bavarian, Herzogenaurach.

"Saya tidak fikir Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhir saya. Saya rasa kita akan berjumpa lagi," katanya lagi.

Pemenang Piala Dunia 2014 itu berundur dari pasukan kebangsaan pada 2021 tetapi bersetuju untuk kembali beraksi Mac lalu.

"Idea untuk kembali adalah dengan matlamat untuk memenangi Euro. Jika saya tidak nampak peluang untuk mencapainya bersama pasukan, saya tidak akan melakukannya," katanya.

Kroos berkata dia tidak berasa takut dengan kehidupan selepas dunia bola sepak apabila menyatakan hari persaraan akan tiba untuk setiap pemain.

"Syukur saya dapat membuat keputusan sendiri, berbanding daripada orang lain mendesak atau berasakan lebih baik untuk saya bersara lebih awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:42 AM