ALABA  meraung kesakitan ketika Austria menentang Georgia di Vienna, kelmarin.  Gambar kecil,  Sebastian Rudy  . FOTO Reuters & AFP.
ALABA meraung kesakitan ketika Austria menentang Georgia di Vienna, kelmarin. Gambar kecil, Sebastian Rudy . FOTO Reuters & AFP.
Reuters

Berlin: Bayern Munich bakal kehilangan khidmat pertahanan David Alaba apabila mereka berkunjung ke Hoffenheim hujung minggu ini tetapi Sebastian Rudy dan Niklas Suele bersedia untuk kembali ke laman kelab lama mereka, sewaktu juara bertahan itu bertekad merampas kedudukan teratas Bundesliga.

Alaba mengalami kecederaan buku lali ketika tugasan antarabangsa mewakili Austria minggu ini dan menurut Bayern akan direhatkan untuk sementara waktu.

Selama mana ketiadaan pertahanan itu masih belum dapat dipastikan tetapi khabar gembira turut menanti anak buah Carlo Ancelotti apabila Rudy, yang turut cedera ketika Jerman menang 6-0 ke atas Norway Selasa lalu, disahkan cergas untuk perlawanan Sabtu ini.

Rudy yang beraksi di bahagian tengah berlatih sendirian semalam namun dijangka kembali berlatih bersama pasukan tidak lama lagi.

Kedua-dua Rudy dan bek tengah, Suele yang turut mewakili Jerman berpindah ke Bayern selepas beraksi cemerlang di Hoffenheim yang menyaksikan mereka menamatkan musim lalu di tangga keempat Bundesliga.

Bayern kini enam mata daripada dua kemenangan dengan perbezaan gol ketara berbanding pendahulu Borussia Dortmund tetapi ia tidak membawa sebarang makna pada awal musim ini.

Bagaimanapun bagi Suele dan Rudy, saingan memburu kesebelasan utama sudah bermula dan dengan tujuh perlawanan diatur dalam tempoh 23 hari, termasuk Liga Juara-Juara, mereka menyedari pentingnya bersiap sedia pada setiap masa.

“Saya perlu kekal konsisten sejak bertahun lamanya dan perlu kekal begitu,” kata Rudy minggu ini.

“Matlamat saya adalah mencipta nama di Bayern.”

Senarionya mungkin lebuh mudah buat Rudy susulan persaraan Xabi Alonso dan Philipp Lahm berbanding Suele, yang berdepan saingan sengit daripada pemain antarabangsa lain seperti Mats Hummels, Javi Martinez dan Jerome Boateng.

Martinez dan Boateng masing-masing sudah pulih daripada kecederaan dan mahukan posisi mereka kembali, manakala Hummels dianggap satu-satunya pemain yang mengisi kedudukan itu secara automatik.

Dortmund sebaliknya bakal mempertahankan penguasaan mereka apabila berkunjung ke Freiburg manakala RB Leipzig menentang Hamburg SV, yang merekodkan permulaan terbaik sepanjang lapan musim dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 5:24 AM