DOLLA dedikasi Here4U buat tulang belakang mereka, iDollas.
DOLLA dedikasi Here4U buat tulang belakang mereka, iDollas.
Georgie Joseph

BUKAN hanya sekadar bergantung harap orang lain untuk mencipta lagu, Dolla juga ingin pertaruhkan kemampuan berkarya dalam muzik mereka. Mereka juga ingin cemerlang sebagai pencipta lagu.

Dolla yang dianggotai Angel, Tabby dan Sabronzo melunaskan impian peribadi itu menerusi lagu baru mereka berjudul Here4U. Dicipta bersama komposer Korea Selatan, Hyuk Shin dan Chris Young, lagu itu cukup istimewa.

Secara spesifiknya, Tabby yang terbabit dalam proses penghasilan Here4U.

Mengakui masih dalam proses belajar, dia puas dapat mengerah otak sebagai penulis lirik dan bersyukur impian itu terlaksana.

"Hyuk Shin adalah individu yang bertanggungjawab memberi saya peluang untuk bersama-sama menulis lagu ini dan menghasilkan melodinya. Dia bersama Chris membimbing saya dengan baik sepanjang proses itu.

"Memikirkan konsert kami yang akan datang, ini adalah waktu yang tepat untuk menghasilkan lagu khusus buat peminat kami. Selepas mencipta melodi di studio, saya pulang ke rumah untuk memikirkan lirik yang sesuai dan inilah hasilnya," katanya.

Menurut Tabby, Here4U adalah sebuah nukilan teristimewa buat peminat setia mereka yang digelar iDollas. Mereka ingin dedikasi rasa cinta mendalam terhadap iDollas yang tidak putus beri sorakan.

Lagu itu juga menjadi lambang perjuangan mereka yang tidak pernah goyah. Cita-cita mereka semakin tinggi untuk terus melakar kejayaan indah secara berterusan.

"Inspirasi besar di sebalik Here4U adalah iDollas. Mereka sentiasa mengejutkan kami dengan menyokong dan selain terus setia bersama dalam setiap situasi sukar yang pernah kami lalui.

"Mereka benar-benar tulang belakang dalam kehidupan Dolla. Saya juga turut jadikan Dolla sendiri sebagai inspirasi. Ini adalah ucapan terima kasih yang tulus kerana bertahan melalui semua halangan," katanya.

Seperti beberapa lagu hit mereka sebelum ini, lagu ini dibuat dalam dua versi iaitu satu dalam bahasa Malaysia yang ditulis oleh Putri Dahlia, Tabby dan Hyuk Shin, manakala versi Inggeris pula ditulis oleh Tabby dan Hyuk Shin.

Menurut Sabronzo pula, pengalaman terbabit dalam menyiapkan lagu ini sangat menyenangkan. Apatah lagi ia antara karya paling peribadi mereka hasilkan setakat ini.

"Istimewanya lagu ini adalah kerana penulis lagu adalah ahli kami sendiri. Visi untuk lagu ini diterjemahkan dengan baik dan kami berasa gembira menjadi sebahagian daripada projek yang menghubungkan semua orang secara peribadi," katanya.

Bagi melengkapkan lagi pakej lagu itu, sebuah lirik video yang menceritakan perjalanan mereka dari awal turut dihasilkan. Ia gambaran visual mengenai perjalanan mereka untuk ke tahap sekarang.

Video itu dihasilkan dengan gabungan aneka klip video yang mereka rakam menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Dalam pada itu, karier Dolla semakin rancak dan terbabit pelbagai acara termasuk festival muzik akan datang. Tidak ketinggalan, mempersiapkan diri untuk konsert sulung pada Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 6:21 AM