PENYERANG Bayern,  Robert Lewandowski (kiri) dikekang hebat pemain Hertha. FOTO/AFP
PENYERANG Bayern, Robert Lewandowski (kiri) dikekang hebat pemain Hertha. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Robert Lewandowski dan Jupp Heynckes masing-masing terlepas peluang mencatat rekod apabila pendahulu Bundesliga Bayern Munich terikat tanpa jaringan dengan Hertha Berlin di laman sendiri awal pagi tadi.

Di sebalik keputusan mengecewakan itu, Bayern mendahului 20 mata di puncak liga ketika Borussia Dortmund di tangga kedua menanti kunjungan Augsburg awal pagi Selasa.

Selepas membelasah Besiktas yang beraksi dengan 10 pemain 5-0 dalam aksi pertama 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Selasa lalu, Hertha membuatkan Bayern bekerja keras untuk mengutip mata.

Ia kali pertama Bayern gagal menjaringkan gol di laman sendiri dalam aksi Bundesliga sejak Mei 2015.

Rekod kemenangan 14 perlawanan berturut-turut yang dimiliki mereka dalam semua kejohanan juga berakhir dan ini kali kedua mereka kehilangan mata musim ini di Allianz Arena.

“Kami boleh teruskan dengan satu mata, saya tidak salahkan pasukan. Kami mempunyai sikap yang bagus,” kata Heynckes.

“Kami memberikan sumbangan menyeluruh terutama pada separuh masa pertama apabila mencipta beberapa peluang tetapi memang sukar apabila berdepan pasukan yang sentiasa bertahan.

“Kami mensia-siakan banyak peluang ia sesuatu yang pelik, tetapi anda berdepan hari seperti itu.”

Ia adalah keputusan seri pertama buat Bayern sejak Oktober, seri 2-2 berdepan Hertha di Berlin, selepas aksi Liga Juara-Juara yang menyaksikan kekalahan mereka kepada Paris Saint-Germain yang mengorbankan kerjaya Carlo Ancelotti sebagai ketua jurulatih.

Lewandowski, yang membuat penampilan Bundesliga ke-250 turut gagal mencipta rekod menjaringkan gol dalam 12 perlawanan liga berturut-turut di laman sendiri, kini meledak jaringan dalam 11 perlawanan bersama-sama legenda Bayern Gerd Muller dan Heynckes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 12:19 PM