Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski meraikan jaringannya pada aksi bertemu Union Berlin. FOTO Reuters
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski meraikan jaringannya pada aksi bertemu Union Berlin. FOTO Reuters
AFP

ROBERT Lewandowski melakar sejarah lagi apabila menjaring gol dalam kemenangan 2-1 Bayern Munich di gelanggang sendiri ke atas Union Berlin, untuk mengembalikan juara bertahan itu ke puncak Bundesliga dengan kelebihan satu mata.

Penyerang Poland itu memanfaatkan hantaran Alphonso Davies di separuh masa kedua untuk menjaringkan gol liga ke-13 dirinya dan mencatat rekod baharu menjaringkan gol dalam sembilan aksi pertama Bundesliga musim ini.

Lewandowski, menemui sasaran dalam 13 perlawanan terakhir untuk Bayern, mengatasi rekod liga sebelumnya oleh Pierre-Emerick Aubameyang, kini bersama Arsenal, yang meledak gol dalam lapan perlawanan pertamanya untuk Borussia Dortmund pada musim 2015/16.

“Saya akan cuba untuk terus bermain seperti ini, masih ada banyak perlawanan untuk diharungi,” kata Lewandowski, yang kini memburu rekod 40 gol liga oleh Gerd Mueller.

“Anda perlu bersedia sepanjang musim. Saya tidak fikirkan mengenai berapa banyak gol sudah saya jaringkan, saya cuma berusaha mendapatkan tiga mata.”

Lewandowski turut menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-2 Liga Juara-Juara ke atas Olympiakos dan kini mengumpul 19 gol selepas 14 perlawanan dalam semua pertandingan.

Dia kini mendahului senarai penjaring terbanyak (bukan warga Jerman) Bundesliga dengan 215 gol liga untuk Bayern dan bekas kelabnya Dortmund.

Pemain pertahanan Benjamin Pavard memastikan jaringan pembukaan buat tuan rumah sebelum Lewandowski menjaringkan gol kedua beberapa minit selepas waktu rehat.

Pemain gantian Sebastian Polter merapatkan kedudukan jaringan buat Union apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan Pavard.

Union merapatkan jurang menerusi penyerang gantian Sebastian Polter yang menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan Pavard di hujung babak permainan.

Sementara itu, pada aksi awal pagi ini, Bayer Leverkusen pula mencatat keputusan seri 2-2 berdepan Werder Bremen di BayArena.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 11:10 AM