DANIAL pertaruh lagu Musnah, Andyoso teroka genre baharu dengan rentak balada.
DANIAL pertaruh lagu Musnah, Andyoso teroka genre baharu dengan rentak balada.
Najiy Jefri


Dua penyanyi muda berbakat besar yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Awal Muzik Entertainment, Danial Kifli dan Andyoso tampil dengan buah tangan baharu buat peminat tercinta.

Danial yang terkenal menerusi lagu Pergilah Cinta selepas berjaya meraih lebih 11 juta tontonan di YouTube kini mempertaruhkan single baharu berjudul Musnah manakala Andyoso pula mencabar diri membawakan lagu bergenre balada bertajuk Pendamping Hidupku.

Memiliki pakej lengkap sebagai penyanyi, Danial dan Andyoso sentiasa mencabar diri melakukan perubahan untuk memastikan kehadirannya dalam bidang seni suara terus kekal relevan dan diminati ramai.

Danial berkata, single Musnah adalah hadiah istimewa buat peminat setia yang sentiasa ternanti-nantikan kesinambungan lagu Pergilah Cinta yang berjaya mencetuskan fenomena sebelum ini.

"Musnah adalah hasil usaha dan kerjasama saya bersama tiga lagi rakan iaitu Amir Hariz, Knight Cydeen dan Hawa Zulaikha.

"Jujurnya saya takut untuk melancarkan single ini kerana Pergilah Cinta berada pada satu tahap yang tinggi dan penerimaannya sangat luar biasa, jadi saya agak gementar untuk melihat maklum balas pendengar untuk single Musnah.

"Tapi Alhamdulillah sebaik muzik video Musnah dilancarkan di YouTube pada 21 Jun lalu, lagu ini terus trending dan kini berada di tangga ke-15.

"Malah jumlah tontonan untuk single ini juga mencatatkan peningkatan yang ketara. Kalau sebelum ini menerusi single Pergilah Cinta jumlah tontonan sekitar 15,000 sehari, tapi Musnah mencecah 25,000 tontonan sehari.

"Saya harap Musnah akan diterima baik sekali gus mencatat satu lagi sejarah baharu untuk portfolio kerjaya saya sebagai pendatang baharu dalam bidang ini," katanya.

Tambah Danial, kelainan yang di bawa dalam muzik video Musnah adalah susunan muzik yang lebih moden dan mesra untuk didengari semua lapisan masyarakat.

"Selain itu saya juga cuba memantapkan vokal supaya kehadiran saya terus diterima baik. Saya tidak mahu dilabel sebagai penyanyi syok sendiri atau hanya bersandarkan rupa tapi saya nak dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai pakej lengkap," katanya.

Dalam masa sama, Danial berharap Musnah dapat mencipta satu keajaiban iaitu menembusi pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Moga Musnah ada keajaiban yang tersendiri selain terus diterima baik oleh peminat. Saya harap single ini dapat pergi lebih jauh dan terus didengari, bukan saja di Malaysia tetapi di Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Selain itu, sudah tentu saya mengharapkan lagu ini berjaya ke pentas AJL kerana ia menjadi impian setiap penyanyi," katanya.

Sementara itu, Andyoso atau nama sebenarnya Andika Zulkefli, 20, pula teruja apabila single keduanya berjudul Pendamping Hidupku memberi peluang baharu kepada dirinya untuk meneroka genre muzik balada.

Kata Andyoso, Pendamping Hidupku adalah hasil ciptaannya bersama komposer dan penulis lirik daripada Indonesia iaitu Shoga Tan dan Ujang K.

"Proses rakaman lagu ini dibuat di Indonesia selama empat hari. Pendamping Hidupku berkisarkan seorang lelaki yang merayu kepada Tuhan untuk memiliki wanita yang dicintainya.

"Jika sebelum ini saya mempertaruhkan single bergenre pop menerusi lagu Setiaku 100 Peratus, tapi kali ini agak berbeza dan saya teruja untuk membawakannya," katanya.

"Walaupun genre balada masih agak baharu untuk saya, tapi saya tidak duduk diam saja sebaliknya saya mengambil kelas vokal untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan sempurna.

"Alhamdulillah penerimaan setakat ini positif dan muzik video lagu ini meraih lebih 140,000 tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan dilancarkan,"katanya.

Tambah Andyoso,sebagai pendatang baharu dia mengaku mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Saya orangnya agak pemalu tapi selepas mengambil keputusan terjun dalam bidang ni saya cuba mengubah personaliti saya.

"Saya juga nak buktikan tanggapan netizen yang mendakwa saya hanya bersandarkan rupa wajah saja adalah salah. Setiap hari saya berlatih dan memasuki kelas vokal,"katanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi Mara, Rembau, Negeri Sembilan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 6:00 AM