HARRY Kane bersama Foden dalam sesi latihan di Blankenhain, Jerman. -FOTO Reuters
HARRY Kane bersama Foden dalam sesi latihan di Blankenhain, Jerman. -FOTO Reuters
Agensi

Leipzig: Penyerang England, Phil Foden, mengatakan bahawa pemain "perlu mengambil sedikit tanggungjawab" atas prestasi pasukan di Euro 2024 dan dia turut "berasa simpati" terhadap pengurus Gareth Southgate yang sentiasa berada di bawah tekanan.

Skuad Southgate itu mara ke peringkat kalah mati kejohanan dengan menduduki tempat teratas kumpulan sebelum menewaskan Slovakia pada masa tambahan dalam pusingan 16 terakhir.

Bagaimanapun, cara permainan mereka dikritik dengan persoalan yang diajukan mengenai pemilihan dan taktik pasukan.

"Pemain juga perlu bertanggungjawab terhadap perkara itu.

"Perlu ada beberapa ketua untuk berkumpul dan mencari penyelesaian mengapa perkara ini tidak berfungsi.

"Hanya ada yang beberapa perkara boleh dilakukan oleh pengurus. Dia meletakkan anda dalam sistem dan memberitahu anda bagaimana untuk menekan. Jika ia tidak berfungsi seperti itu, anda perlu mencari penyelesaian sendiri."

Ketika ditanya mengenai tekanan ke atas Southgate di Euro kali ini menjelang perlawanan suku akhir menentang Switzerland pagi Ahad ini, pemain Manchester City itu menambah: "Saya kasihan dengan Gareth.

"Dalam latihan, dia memberitahu kami untuk terus menekan dan beri yang terbaik di atas padang dan saya rasa kadang-kadang, ia perlu datang daripada pemain.

"Kita perlu menjadi pemimpin. Dalam permainan, kita seharusnya lebih banyak berkumpul dan mencari penyelesaian.

"Jadi ya, kita sudah membincangkan ini lebih lanjut. Jika hal itu berlaku lagi dalam permainan, kita boleh berkumpul dan mencari penyelesaian, melihat di mana kesilapan berlaku dan menyesuaikan tekanan kita itu," kata Foden.

Foden adalah Pemain Terbaik Liga Perdana dan dipilih sebagai Pemain Terbaik oleh Persatuan Penulis Bola Sepak untuk musim 2023-24, sementara membantu Manchester City menjuarai gelaran liga teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 6:46 AM