AKTIVITI memancing berkayak sudah menjadi fenomena.
AKTIVITI memancing berkayak sudah menjadi fenomena.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Mengayuh kayak ke tengah lautan berombak untuk memancing adalah hobi ekstrem dan lasak yang semakin digilai kaki pancing.

Walaupun menyedari risiko bahaya tidak dijangka menanti apabila menggunakan 'kenderaan' kecil itu tetapi semangat dan jiwa kental dimiliki kaki pancing dapat melenyapkan ketakutan.

Sebaliknya keseronokan dinikmati kaki pancing apabila berjaya menewaskan spesies ikan buruan seperti tenggiri, talang dan barakuda bersaiz besar.

Ahli Kelab Memancing Negeri Pahang, Abdul Farid Emir Ramli berkata, dia menjadi pemancing kayak sejak lima tahun lalu kerana ingin beralih arah daripada pemancing tepian kepada pemancing berkayak.

Menurutnya, ini kerana dia menaik taraf kayak miliknya kepada jenis kayuhan kaki yang lebih sesuai untuk memancing.

"Saya memilih laut sebagai lokasi memancing kerana gemar aktiviti memancing yang lebih mencabar dan menguji mental serta fizikal.

BERSAMA hasil tangkapan ikan ebek.
BERSAMA hasil tangkapan ikan ebek.

"Lokasi saya memancing ialah laut di Pekan, Pahang berhampiran dengan Kuala Pahang," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan peringkat awal berjinak-jinak dalam aktiviti itu timbul rasa ketakutan. Tetapi lama-kelamaan perasaan ini hilang dan berani mengayuh kayak bersaiz 3.6 meter panjang dan 0.3 meter lebar hingga sejauh sembilan kilometer ke ke tengah laut.

"Sebagai langkah keselamatan, saya mengambil pendekatan tidak bersendirian ke laut yang ditemani empat rakan lain bersama kayak masing-masing.

"Selain itu membawa peralatan keselamatan yang lengkap seperti jaket keselamatan, sistem kedudukan global (GPS) dan sonar untuk situasi tidak dijangka," katanya. Abdul Farid Emir berkata, seronoknya bermain dalam dunia hanyir itu ialah apabila dapat menewaskan ikan yang agresif apabila tersangkut mata kail.

PERNAH berhadapan hujan ribut dan petir di laut.
PERNAH berhadapan hujan ribut dan petir di laut.

"Ikan paling paling besar yang berjaya ditangkap ialah tenggiri seberat sembilan kilogram.

"Tidak mudah untuk menewaskan ikan ini dan bertarung hampir 15 minit sebelum berjaya dibawa naik ke kayak.

"Kesukaran ini membuatkan saya rindu dan terpanggil untuk kembali ke laut. Selain hobi, memancing adalah terapi pada hujung minggu," katanya.

Katanya, hasil tangkapan paling banyak minggu lalu yang memperoleh 30 ekor ikan selar bersaiz besar dan beberapa ikan kerapu.

"Hasil tangkapan ini tidak dijual hanya untuk kegunaan sendiri dan diberikan kepada jiran.

"Selalunya saya turun ke laut jam 8 pagi hingga 2 petang dan tidak berani pulang lewat kerana keadaan angin di sebelah pantai timur tidak menentu.

BERJAYA menangkap ikan tenggiri .
BERJAYA menangkap ikan tenggiri .

"Tiupan angin di sebelah pantai timur kuat pada sebelah petang dan kami pulang awal bagi mengelakkan bahaya," katanya.

Abdul Farid Emir berkata, di sebalik keseronokan dengan aktiviti itu dia turut mempunyai pengalaman menakutkan yang hampir meragut nyawanya.

"Saya bersama rakan-rakan pernah berhadapan hujan lebat dan ribut petir di tengah laut yang berlaku secara tiba-tiba.

"Panahan petir di permukaan laut sangat kuat hingga bergetar kaki dan tangan. Laut bergelora menyebabkan kayak terumbang ambing.

BERSAMA ahli Kelab Memancing Negeri Pahang.
BERSAMA ahli Kelab Memancing Negeri Pahang.

"Kami mengambil pendekatan bertenang dan membuat strategi merapatkan serta memegang kayak masing-masing untuk keseimbangan sambil membaca doa.

"Kebetulan di lokasi kami terkandas terdapat banyak bubu ikan yang mempunyai pelampung besar. Lalu mengikat kayak pada pelampung itu bagi mengelakkannya hanyut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:01 AM