AFP

Berlin: Thomas Tuchel (gambar) berhasrat memecah kebuntuan kemenangan Borussia Dortmund di bekas kelab Mainz awal pagi esok, manakala pendahulu Bayern Munich menyasarkan untuk melakar lebih banyak rekod gol Bundesliga di Bremen.

Kemenangan 5-1 Bayern ke atas Dortmund di Munich dua minggu lalu membantu mereka menjarakkan diri kepada tujuh mata di puncak carta ketika pasukan kendalian Pep Guardiola dilihat mampu memenangi kejuaraan liga keempat berturut-turut musim ini.

Di bawah jurulatih baru Tuchel, Dortmund menang 11 perlawanan pertama dalam semua pertandingan, termasuk lima dalam liga untuk mengungguli carta, namun dua keputusan seri berturut-turut dengan Hoffenheim dan Darmstadt menyaksikan mereka hilang empat mata dan merudum ke tangga kedua sebelum kecundang di Munich.

Borussia tidak menang dalam empat perlawanan terakhir mereka dan perlu menundukkan pasukan tangga pertengahan Mainz untuk mengekalkan tangga kedua, dengan musuh utama Schalke hanya satu mata di belakang.

Dortmund menang sembilan daripada 18 pertemuan menentang Mainz dan meraih kemenangan 4-2 di laman sendiri Februari lalu ketika Tuchel membawa pasukannya ke Arena Coface buat kali pertama sejak meletak jawatan pada hujung musim 2013-14.

Pemain sayap Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang akan turun untuk meneruskan rekod luar biasa liga apabila menjaringkan gol dalam setiap lapan perlawanan setakat ini.

Bayern menuju ke Weserstadion milik Bremen malam esok dengan impian memburu kemenangan ke-12 berturut-turut musim ini selepas menang 4-0 dan 7-0 bagi dua kunjungan terakhir mereka.

Kelab gergasi Bavaria itu menang semua sembilan aksi terakhir menentang Werder dengan 39 gol dijaringkan serta dibolosi hanya enam kali.

Bremen kalah empat perlawanan terakhir manakala barisan serangan Bayern bertindak cemerlang ketika Robert Lewandowski menyumbat 12 gol dalam tujuh perlawanan dan Thomas Mueller lapan gol dalam lapan perlawanan.

Kedua-duanya mengumpul 20 gol daripada 28 gol Bayern setakat ini dan Mueller berkata, rekod liga 101 gol dijaringkan oleh legenda Munich, Gerd Mueller, Uli Hoeness dan rakan-rakan pada musim 1971-72 mungkin boleh diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:29 AM