Ankara: Turki layak secara automatik ke pusingan akhir Euro 2016 selaku pasukan tangga ketiga terbaik selepas menang 1-0 ke atas Iceland hasil jaringan Selcuk Inan, awal pagi semalam.

Turki yang menamatkan saingan dengan 10 orang selepas pemain tengah Gokhan Tore dilayangkan kad merah pada minit ke-77 kerana mengasari Jon Dadi Bodvarsson, perlu menunggu hingga minit ke-89 sebelum Inan menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 25 meter.

Turki menamatkan saingan dengan 18 mata berbanding 13 yang diperoleh Belanda selepas Oranje tewas 2-3 kepada Republik Czech yang muncul juara Kumpulan A dengan 22 mata, dua mata mengatasi Iceland. Turki berjaya mengatasi Hungary untuk berada di tangga ketiga.

“Sebagai skuad kebangsaan, kami amat memerlukan kemenangan ini untuk mencipta kegembiraan walaupun hanya untuk beberapa jam saja. Kami gembira kerana dapat memberikan kegembiraan kepada rakyat negara kami,” kata jurulatih Turki, Fatih Terim.

Beliau merujuk kepada insiden pengeboman di Ankara yang mengorbankan hampir 100 orang minggu lalu.

“Kami memiliki pasukan lebih muda dan kami bangga kerana pasukan muda ini berjaya mencapai sesuatu yang sangat hebat,” katanya sambil menambah Turki akan ke Euro 2016 dengan pasukan yang dibarisi lebih ramai pemain muda.

Kapten Turki, Arda Turan berkata: “Kami bermula dengan hambar. Tapi kami percaya dengan kemampuan diri sendiri, kami bangkit dan berjaya. Kami gembira kerana tidak mengecewakan rakyat negara kami yang meletakkan harapan mereka di bahu kami.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 8:11 AM