GAYA Kean meraikan jaringan pertama. FOTO AFP
GAYA Kean meraikan jaringan pertama. FOTO AFP
AFP

Istanbul: Dua jaringan Moise Kean pada babak kedua membolehkan Paris Saint-Germain menewaskan Istanbul Basaksehir 2-0 di Turki dalam aksi Liga Juara-Juara tetapi mereka kehilangan Neymar akibat kecederaan.

Pemain termahal dunia itu terpaksa dikeluarkan pada babak pertama dan terus menuju terowong untuk mendapatkan rawatan.

Dia digantikan Pablo Sarabia tetapi tanpa bintang Brazil itu, pelawat tampak lebih garang pada babak kedua dalam perlawanan tanpa sebarang insiden di sebalik ketegangan hubungan diplomatik Turki dengan Perancis.

"Ia membabitkan otot paha tetapi saya harap ia tidak serius. Dia berasa agak sakit dan sukar bergerak. Itu sebabnya dia dikeluarkan," kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel mengenai Neymar.

Keputusan itu pasti melegakan PSG, finalis musim lalu selepas tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Manchester United dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

"Ramai pemain cedera dan ini mungkin masanya untuk kami berjuang, berusaha menang perlawanan walaupun ia bukan kemenangan menarik buat PSG," kata Tuchel.

"Mungkin kami boleh melakukan dengan lebih baik tetapi ia sukar pada masa sekarang."

Kean yang dipinjamkan dari Everton membuka akaun jaringan ketika menentang Dijon dalam aksi Ligue 1 hujung minggu lalu dan penyerang Itali itu meletakkan skuad Tuchel di depan pada minit ke-64 di Stadium Fatih Terim.

Kylian Mbappe memainkan peranan menerusi sepakan sudut yang ditanduk masuk Kean yang tidak dikawal dan jaringan kedua menyusul 11 minit kemudian hasil rembatan melepasi penjaga gol tuan rumah, Mert Gunok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:21 AM