BAPA mangsa, David Kuasan, 32, dari perkampungan Orang Asli Penad, tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib anaknya, Juvinia, 7, ketika usaha mencari masih giat dijalankan pada 6 Oktober. FOTO Syamsi Suhaimi
BAPA mangsa, David Kuasan, 32, dari perkampungan Orang Asli Penad, tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasib anaknya, Juvinia, 7, ketika usaha mencari masih giat dijalankan pada 6 Oktober. FOTO Syamsi Suhaimi
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Gua Musang: Empat bot akan digunakan hari ini untuk mengesan murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu, susulan penemuan mayat kanak-kanak perempuan, 7 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu di kawasan sekitar Sungai Perias dan akan diperhebatkan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan.

"Kita dalam fasa pembersihan dan empat bot ini milik polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam akan digunakan untuk pencarian dari hulu ke hilir sungai.

"Operasi kini babit lebih 170 petugas keselamatan pelbagai agensi, malah disertai penduduk kampung yang bersedia untuk membantu pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, keluarga tujuh murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu akan melakukan pengecaman mayat yang ditemui semalam, hari ini di Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

Proses pengecaman dijangka sukar berikutan tiada sebarang pengenalan atau tanda pada badan mangsa, malah beberapa sifat badannya sudah mula terjejas berikutan terlalu lama dalam air.

"Setakat ini kita tidak boleh sahkan identiti mangsa sehinggalah bedah siasat dan proses pengecaman selesai," katanya.

Tamat13

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 10:57 AM