MAYAT kanak-kanak perempuan ditemui di dalam Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi. FOTO Ramli Ibrahim
MAYAT kanak-kanak perempuan ditemui di dalam Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi. FOTO Ramli Ibrahim
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Gua Musang: Mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di Sungai Perias dekat Pos Tohoi, di sini hampir pasti seorang daripada tujuh murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu.

Ia berdasarkan pengecaman yang dilakukan ahli keluarga mangsa di Hospital Gua Musang (HGM), di sini, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, seorang bapa mangsa dari Kampung Gawin yang membuat pengecaman tidak menolak kemungkinan mayat itu adalah anaknya Sasa Sobrie,8.

"Bagaimanapun, itu bukanlah keputusan konklusif kerana kita tetap perlu melakukan ujian DNA untuk kepastian.

"Buat masa ini, kepastian hampir 80 peratus, mayat itu adalah seorang daripada tujuh murid yang hilang," katanya.

Sementara itu, suasana di HGM, di sini suram dengan ahli keluarga tujuh Orang Asli menangis sebaik bapa Sasa, Sobrie Latif, 25, keluar dari bilik mayat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 12:35 PM