Mayat kanak-kanak perempuan berusia antara tujuh hingga sembilan tahun yang ditemui dalam Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi iaitu kira-kira 500 meter dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mengesan tujuh murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu, tiba di Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat. - Foto RAMLI IBRAHIM

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Mayat budak perempuan berusia 7 hingga 9 tahun, dipercayai seorang daripada murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu ditemui dalam Sungai Perias berhampiran Pos Tohoi, di sini, kira-kira 7 malam tadi.

Mayat itu ditemui seorang penduduk kampung yang kemudian memaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi mengesan tujuh murid Orang Asli itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan penemuan mayat itu dan memberitahu mayat ditemui kira-kira 500 meter daripada pusat operasi SAR di Pos Tohoi.

"Pasukan menyelamat mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mayat yang tersangkut pada ranting kayu dekat celah batu.

"Petugas juga berdepan kesukaran kerana air sungai yang deras dan dalam," katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang (HGM) di sini, hari ini.

Mayat yang mereput dan bengkak itu dihantar ke HGM untuk bedah siasat dan proses pengecaman akan dilakukan pagi esok.

"Belum pasti lagi sama ada mayat ini adalah seorang daripada tujuh murid Orang Asli yang hilang itu. Kena tunggu bedah siasat," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid SK Tohoi lari dari asrama kerana bimbang dimarahi pihak sekolah kerana mandi di sungai.

Ketujuh-tujuh murid yang hilang ialah Mirsudiar Aluj (11); Noreen Yaakub (10); Ika Ayel (9); Sasa Sobrie (8); Haikal Yaakub (8); Linda Rosli (8) dan Juvina David (7).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 11:12 PM