KEADAAN di Palembang di Sumatera, semalam.
KEADAAN di Palembang di Sumatera, semalam.
Agensi

Pekanbaru: Agensi Meteorologi, Iklim dan Geofizik bandar ini berkata asap tebal akan terus melitupi beberapa kawasan di Riau dan berpotensi mengurangkan jarak pemandangan kepada kira-kira 100 meter selama kira-kira dua minggu lagi.

“Angin kini bertiup ke arah Riau. Angin yang melintasi Riau akan menghala ke tenggara dan kemudian perlahan. Kerana itu sukar bagi kita mengelak asap dari Jambi dan Sumatera Selatan,” kata ketua agensi Sugarin kepada wartawan semalam.

Menurutnya, berdasarkan data cuaca agensi itu setakat 7 pagi semalam, jerebu tebal masih melitupi empat daerah - Dumai, Pelalawan, Pekanbaru dan Rengat.

“Di Pekanbaru, jarak pemandangan berkurangan kepada hanya 200 meter, sementara di Pelalawan dan Rengat, jaraknya 100 meter. Bagaimanapun di Dumai, kea daan bertambah baik, hampir 1,000 meter,” kata Sugarin.

Sementara itu, Pemangku Gabenor Riau Arsyadjuliandi Rahman mengumumkan, pentadbiran wilayah itu memutuskan untuk melanjutkan status darurat pencemaran udara yang sepatutnya berakhir kelmarin.

“Hari ini, kami bersetuju melanjutkan status darurat hingga 11 Oktober,” katanya.

Di Pekanbaru, pihak berkuasa pelajaran menutup semula beberapa sekolah di sekitar daerah berkenaan dan mengeluarkan arahan supaya bayi berusia bawah enam bulan di pindahkan ke tempat lebih selamat yang sudah disediakan.

Menurut Datuk Bandar Pekanbaru Firdaus, langkah itu diambil selepas kualiti udara di daerah berkenaan semakin teruk.

Pihak berkuasa Indonesia mengerah hampir 21,000 anggota untuk membantu memadamkan kebakaran hutan dan ladang di Sumatera tetapi sehingga ini tidak banyak membantu mengurangkan jerebu yang melanda sebahagian wilayah itu sehingga menjejaskan kualiti udara di negara jiran, Singapura dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:46 AM