ASAP kuning mula kelihatan kira-kira jam 9 pagi di Riau akibat asap tebal yang menyelubungi kawasan itu. FOTO Agensi
ASAP kuning mula kelihatan kira-kira jam 9 pagi di Riau akibat asap tebal yang menyelubungi kawasan itu. FOTO Agensi
Agensi

JAKARTA: Tahap kualiti udara yang semakin buruk susulan kebakaran tanah dan hutan di Indonesia menyebabkan seluruh Kabupaten Pelalawan, Riau menjadi kuning akibat asap tebal yang menyelubungi kawasan itu.

Kompas yang memetik seorang penduduk, Huda berkata, asap kuning itu mula kelihatan kira-kira jam 9 pagi dan ia adalah kali pertama berlaku.

“Baru hari ini keadaan mula menjadi kuning. Saya bimbang keadaan esok semakin parah jika tidak hujan,” katanya.

Berdasarkan data dikeluarkan Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), kualiti udara mencecah paras bahaya di Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat dan Riau.

Agensi Geofizik, Cuaca dan Meteorologi Pekanbaru (BMKG) pula melaporkan, jumlah titik panas menunjukkan peningkatan berbanding beberapa hari sebelumnya iaitu 205.

“Hari ini jarak penglihatan di Pekanbaru 500 meter, Kabupaten Inhu ialah 400 meter, Dumai 700 meter dan Pelalawan 400 meter. Jarak penglihatan terhad disebabkan asap tebal,” kata jurucakap BMKG, Bibin Sulianto.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 1:40 PM