Pekanbaru: Penduduk Riau semakin resah dengan jerebu yang melanda wilayah itu selepas lokasi kebakaran hutan semakin meningkat walaupun usaha memadam api giat dijalankan.

Musim panas dan hujan yang jarang turun di utara dan timur Riau menjadi punca utama kawasan kebakaran atau titik panas semakin meningkat.

Pagi semalam sahaja terdapat 140 titik panas yang dikesan di wilayah berkenaan.

“Data daripada alat pemantau udara di stesen Pekanbaru mendapati kualiti udara berada di tahap tidak sihat,” kata pengarah Meteorologi, klimatologi dan Geofizik Indonesia, Sugarin.

Menurutnya, di wilayah Sumatera pihaknya mengesan 326 titik panas di beberapa daerah.

Menurutnya, pihaknya memantau enam titik panas di Bengkulu, 51 di Jambi, dua di Sumatera Barat, 42 di Sumatera Selatan, lapan di Lampung dan tiga di Sumatera Utara serta 186 di Riau.

Sementara itu, Sugarin memberitahu, jerebu tebal menyebabkan jarak penglihatan di Pekanbaru merosot kepada 800 meter.

“Di Dumai, jarak penglihatan masih baik iaitu lma kilometer, Pelalawan tiga kilometer sementara Rengat empat kilometer,” kata Sugarin. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:49 AM