Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan semua pertandingan atau aktiviti dijalankan persatuan sukan kebangsaan perlu mengambil kira saranan Institut Sukan Negara (ISN) susulan keadaan jerebu ketika ini.

“Kita menyarankan sebarang aktiviti di luar sekiranya mencecah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang ditetapkan ISN, ia perlu dibatalkan atau ditangguhkan termasuk Piala Malaysia,” katanya.

ISN menerusi kenyataan pada 11 September lalu mengesyorkan persatuan sukan kebangsaan atau penganjur kejohanan jika boleh, menunda sebarang aktiviti fizikal luar bagi memastikan keselamatan dan tahap kesihatan atlet serta penonton terjamin jika bacaan melebihi 100.

“Jadi saya berharap FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) proaktif. Keselamatan dan kesihatan penonton serta pemain lebih penting berbanding menepati jadual perlawanan.

“Jika perlawanan diteruskan itu membawa risiko kepada pemain dan penonton, saya rasa itu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Aksi Piala Malaysia antara Selangor menentang FELDA United pada Sabtu lalu berlangsung dalam bacaan IPU melebihi 101 yang diklasifikasikan sebagai tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:33 AM