BANDAR raya Kuching berjerebu dengan tahap sangat tidak sihat, hari ini. FOTO L.Manimaran.
BANDAR raya Kuching berjerebu dengan tahap sangat tidak sihat, hari ini. FOTO L.Manimaran.
Mohd Roji Kawi


SEKOLAH di Kuching dan Sri Aman boleh ditutup esok, sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus kritikal serta membahayakan pelajar.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad berkata, penutupan itu selaras Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019, bertarikh 15 Januari 2019.

“Antara lain, jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta-merta kerana langkah itu demi menjamin kesihatan dan keselamatan murid.

“Pengetua dan guru besar hendaklah memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung langkah penutupan sekolah itu.

“Untuk kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah, manakala aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Azhar berkata, semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam pula perlu diteruskan, namun Lembaga Peperiksaan (LP) akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh yang akan ditetapkan jika bacaan IPU mencecah 300.

Sehingga 5 petang ini, IPU di Kuching berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu 245 dan Sri Aman pula pada 249.

Tahap tidak sihat dicatatkan di Samarahan (199), Sarikei (160), Institut Latihan Perindustrian Miri (114) dan Sibu (132).

Tujuh stesen lagi mencatat bacaan IPU pada tahap sederhana iaitu Mukah (93), Miri (74), Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (78), Bintulu (85), Samalaju (79), Kapit (88) dan Limbang (75).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:14 PM