Pengarah JPNS, Dr Roslan Hussin (kiri) memberi nasihat kepada atlet Negeri Sembilan ketika ditemui pemberita di Paroi, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Pengarah JPNS, Dr Roslan Hussin (kiri) memberi nasihat kepada atlet Negeri Sembilan ketika ditemui pemberita di Paroi, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menasihatkan pengurusan sekolah di negeri ini untuk membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kurang sihat dan boleh menjejaskan kesihatan murid.

Pengarahnya Dr Roslan Hussin berkata, pengetua dan guru besar boleh mengambil tindakan sewajarnya termasuk membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika mendapati keadaan cuaca tidak sihat.

"Jika IPU mencecah tahap 200, memang kami nasihat supaya tutup sekolah. Jika belum capai tahap itu tetapi cuaca begitu panas sehingga boleh menjejaskan kesihatan, sekolah boleh ambil tindakan yang wajar termasuk membatalkan aktiviti luar bilik darjah.

"Bagaimanapun, sehingga kini, aktiviti di sekolah berjalan seperti biasa dan kami akan terus memantau dengan teliti keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

"Ada tahap-tahap (IPU) yang perlu dilihat dan sekolah juga telah diminta supaya peka dengan keadaan indeks pencemaran udara. Setakat semalam, Port Dickson mencatatkan IPU 160 tetapi kami tidak ambil apa-apa tindakan.

"Namun, semua pengetua atau guru besar mempunyai kuasa untuk bertindak dalam situasi jerebu berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan atlet Negeri Sembilan bagi penganjuran Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, hari ini.

Roslan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan indeks IPU daripada semasa ke semasa sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan.

"Murid juga boleh mengambil langkah keselamatan dan digalakkan memakai pelitup muka selain kerap minum air serta mengurangkan aktiviti ketika cuaca panas bagi mengelak sebarang risiko pada kesihatan," katanya.

Untuk rekod, sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 14 kawasan di seluruh Semenanjung mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu melebihi 101.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), antara kawasan itu ialah Nilai dengan bacaan 163, Seremban (157) dan Port Dickson (155).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 3:36 PM