Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: Hari Sukan Negara (HSN) masih diteruskan dan hanya akan dibatalkan mengikut keputusan penganjur di tempat masing-masing sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sambutan Hari Sukan Negara pada 10 Oktober ini tidak dibatalkan sebaliknya hanya di kawasan yang catat IPU melebihi 150 tidak dapat diteruskan.

Beliau berkata, jika keadaan jerebu tidak mengizinkan dan boleh memudaratkan kesihatan peserta, ia akan dibatalkan berpandukan kepada garis panduan yang akan dikeluarkan Institut Sukan Negara (ISN) Selasa ini.

"Keadaan jerebu di setiap kawasan adalah berbeza, kita tidak boleh kata Hari Sukan Negara batal jika di Lembah Klang batal kerana sambutan itu untuk seluruh negara. Saya serah kepada penganjur untuk buat keputusan di tempat masing-masing berpandukan garis panduan dikeluarkan ISN dan pemantauan yang dilakukan mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan FitUni di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, aktiviti senaman sempena sambutan FitUni berkenaan dibatalkan kerana Nilai mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu 198 dan beliau hanya meluangkan masa beramah mesra serta menyampaikan ucapan kepada pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 11:43 AM