GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang dan Banting, Selangor, serta Cheras, di sini, semakin baik apabila berada pada tahap sederhana pagi ini.

Berdasarkan Sistem Pengurusan IPU, Jabatan Alam Sekitar, Klang mencatatkan bacaan 72, manakala Banting pula 87.

Sementara di Cheras, bacaan IPU adalah 81 dengan bacaan sederhana adalah pada kiraan 51 hingga 100.

Secara keseluruhan, tiada mana-mana kawasan merekodkan bacaan tidak sihat dengan bacaan dari 101 hingga 200 setakat pagi tadi.

Sebanyak 40 kawasan berada pada tahap sederhana, manakala 14 bacaan IPU adalah baik, sementara empat kawasan tidak dapat mencatatkan sebarang bacaan.

Semalam, Klang, Banting dan Cheras mencatatkan IPU) tidak sihat dengan Banting mencatatkan bacaan IPU 158, Klang (153) dan Cheras (155).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di tiga daerah di Johor.

Amaran membabitkan tiga daerah terbabit ialah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Baharu sehingga pagi ini.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm)/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 9:55 AM