BEKAS pemain negara, Arif  Latiff  mempamerkan skil bersama peserta ketika pelancaran kejohanan di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
BEKAS pemain negara, Arif Latiff mempamerkan skil bersama peserta ketika pelancaran kejohanan di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Oleh Shamzsul Anuar Johan


Kuala Lumpur: Sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai kuasa badminton dunia, ASICS dalam usaha mengembangkan bakat baru badminton negara akan menganjurkan Kejohanan Badminton ASICS 2015. Kejohanan tiga hari itu akan berlangsung di Pusat Sukan Universiti Malaya, Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 Oktober ini.

Kejohanan julung kali itu diadakan bersempena Hari Sukan Negara pada 10 Oktober. Atas inisiatif itu, ASICS teruja dalam menyediakan platform bagi bakat baru badminton mengasah kemahiran terpendam selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemain.

“Kami amat teruja untuk melancarkan Kejohanan Badminton ASICS 2015 di Malaysia,” kata Pengurus Besar ASICS Asia, Yogesh Gandhi.

“Memandangkan populariti sukan badminton semakin meningkat di seluruh negara, kami mengambil inisiatif menyediakan platform yang berdaya saing untuk sesiapa saja yang ingin meningkatkan serta mengasah kemahiran mereka.

“Kami amat berharap kejohanan ini akan memberi peluang kepada bakat baru muncul sekali gus menjadi rangsangan kepada pemain muda melonjak ke tahap lebih tinggi dalam permainan,” katanya.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan, perseorangan lelaki terbuka, beregu lelaki terbuka, beregu lelaki bawah 21 tahun dan perseorangan lelaki, wanita B-21 selain dua kategori menarik, beregu lelaki gabungan umur 100 tahun dan beregu lelaki gabungan umur 90 tahun. Yuran penyertaan dikenakan bagi setiap kategori.

Hadiah keseluruhan bernilai RM27,800 dalam bentuk baucar produk ASICS disediakan penganjur.

Juara perseorangan lelaki akan membawa pulang hadiah baucar bernilai RM1,500, pingat serta barangan tajaan manakala juara beregu lelaki terbuka pula akan menerima baucar bernilai RM2,500, pingat dan barangan tajaan. Beregu lelaki B-21, baucar RM2,000, perseorangan lelaki (RM1,000), wanita B-21 (RM800), selain pingat dan barangan tajaan.

Bagi yang berminat, pendaftaran dibuka dari 1 hingga 30 September, layari laman web www.malaysiabadmintontournament.com untuk maklumat lanjut.

Pendaftaran juga boleh dibuat dengan menghubungi Aamar Hashim di talian 012-4326969 dan Zulkefele Mohd Nor (012-6254338) atau melalui Facebook rasmi - facebook.com/ASICSBadmintonChampionship.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:22 AM