PEMENANG bergambar kenangan selepas kejohanan Badminton Heattone,  kelmarin. -Foto Agensi
PEMENANG bergambar kenangan selepas kejohanan Badminton Heattone, kelmarin. -Foto Agensi
Naqib Nor Said

BEKAS pemain beregu negara, Mohd Zakry Latif membuktikan sentuhannya belum ‘berkarat’ apabila menjuarai edisi sulung Kejohanan Badminton Heattone 2018 di Alor Setar, kelmarin.

Kejayaan itu hadir selepas bekas pemenang Siri Super Indonesia 2008 itu melakar kemenangan bersama pasangannya, Iszuwan Azahar berdepan Quah An Yang-Nazim Kamar 19-21, 21-18, 21-14 dalam aksi final kategori beregu terbuka.

Kemenangan di kejohanan berstatus karnival itu membolehkan Zakry-Iszuwan yang kini bernaung di bawah Akadeki Badminton Zakry menerima hadiah RM2,000 manakala An Yang-Nazim mendapat RM1,000.

Namun, perjalanan mereka tidak semudah disangka apabila perlu menempuh halangan daripada bekas pemain kebangsaan lain termasuk Roslin Hashim yang bergandingan bersama Razif Latif untuk berpuas hati di tempat ketiga dengan RM500.

Bagi Zakry, 35, walaupun gembira dengan kemenangan itu, dia memuji langkah NR Mustajab menganjurkan kejohanan edisi pertama itu yang dianggap sebagai pentas terbaik pemain amatur melepaskan ‘gian’.

“Kami sebagai bekas pemain sememangnya mengalu-alukan syarikat swasta seperti NR Mustajab menganjurkan kejohanan seperti ini kerana sekarang ini banyak pemain amatur yang aktif di Malaysia.

“Malah, saya turut difahamkan Heattone juga akan menjelajah ke seluruh negara untuk menganjurkan kejohanan badminton ini, jadi bagi saya ia satu perkembangan baik untuk pemain badminton amatur,” katanya.

Sementara itu, juara kategori beregu amatur menjadi milik Mukhriz Nazeri-Saik Wei Han dari Kelab Badminton CCZ yang menewaskan Ang Teik Yang-Ow Yeang Khan Tean 22-21, 18-26, 26-24.

Mereka membawa pulang hadiah kemenangan RM1,200, piala pusingan, barangan sukan Apacs, kasut jenama Asics dan barangan kesihatan Heattone dengan naib juara pula menerima RM800.

Tempat ketiga dikongsi bersama Firmansyah Julius-Shahrizal Rozali dan Wahyudi Wahab-Tan Soon Kiet dengan masing-masing menerima RM400 beserta pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 12:19 PM