Kuala Lumpur: Pemain badminton negara yang berjaya meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio bulan lalu mendapat durian runtuh apabila Celcom Axiata Berhad memberikan insentif khas bernilai RM20,000 serta kredit Celcom bernilai RM10,000 dalam satu majlis khas semalam.

Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying semuanya berjaya meraih penghargaan berkenaan di majlis yang turut disaksikan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Pengerusi Celcom Axiata Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Celcom Axiata sentiasa menghargai komitmen tinggi yang diberikan pemain badminton negara yang mempunyai status kelas dunia.

“Mewakili Celcom Axiata Berhad, saya begitu berbesar hati dan bangga untuk memberikan penghargaan ini kepada atlet Olimpik kita yang sentiasa berusaha bagi memburu kejayaan.

“Kami akan terus memberi sokongan kepada sukan badminton negara selepas menjadi penaja utama kepada BAM hingga 2019 dengan jumlah tajaan yang diumum sebelum ini bernilai RM24 juta,” katanya.

Turut menerima insentif itu pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi dan pasangan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei apabila masing-masing memperoleh RM10,000 dan kredit Celcom bernilai RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:08 AM