AKMAR (tengah) bersama juara beregu Terbuka Novis (kanan) dan juara beregu Tertutup Perak Tengah.
AKMAR (tengah) bersama juara beregu Terbuka Novis (kanan) dan juara beregu Tertutup Perak Tengah.

Ipoh: Beregu Anjung Emas yang diwakili Ahmad Rosli Zabri dan Ahmad Zamani Abdul Hadi muncul juara kategori Lelaki Terbuka Novis pada saingan final Kejohanan Piala Datuk Akmar Hisham Mokhles yang berlangsung di Dewan Badminton Bandar Baru Lahat, baru-baru ini.

Gandingan beregu pilihan itu berjaya menewaskan pasangan Armynul Sabri Abdul Hadi dan Mohd Hasrol Kassim pada final yang berkesudahan 21-18 dan 21-19 itu.

Kemenangan itu membolehkan gandingan Ahmad Rosli-Ahmad Zamani membawa pulang wang tunai RM2,000 serta pingat manakala Armynul Sabri-Mohd Hasrol menerima RM1,000 serta pingat.

Kejohanan berkenaan dianjurkan Event Crew Enterprise, Kelab Badminton Parit dan disokong Persatuan Badminton Perak.

Bagi kategori beregu Lelaki Tertutup Perak Tengah, pasukan beregu Changkat Lada berjaya menewaskan SIBC di final.

Azizul Izwani bersama Mohammad Rizal menewaskan pasangan Fuad Mohammad dan Hilmi Abdullah 21-19, 21-17 sekali gus membolehkan mereka membawa pulang RM750 dan pingat manakala SIBC menerima RM500 dan pingat.

Kejohanan kali ini turut mempertandingkan kategori perseorangan bawah 10, 12, 14 dan 16 tahun.

Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri itu berkata, kejohanan terbabit berjaya menarik penyertaan lebih 550 peserta bagi semua kategori yang dipertandingkan.

Katanya, selain pemain perseorangan tempatan dan beregu dari seluruh daerah di Perak, ia turut menarik penyertaan pemain dari Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:36 AM