Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Layak secara merit dan jangan terlalu mengharap tiket wild card.

Demikian tegas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim yang meminta atlet olahraga negara layak secara merit ke temasya Sukan Olimpik Rio tahun depan berbanding mengharap ehsan beraksi menerusi tiket wild card.

Jelasnya, beliau tidak mahu ‘budaya’ mengharapkan tiket wild card berterusan dalam kalangan atlet negara kerana pada pandangannya masih ada peluang bagi beberapa atlet untuk layak secara merit.

“Atlet kita masih ada peluang untuk layak ke Sukan Olimpik secara merit. Bila sampai masanya, barulah boleh cerita soal wild card.

“Kalau pilih atlet yang dapat wild card ketika ini, saya akan beri tekanan pula kepada atlet lain. Jadi, kami memang belum pilih mana-mana atlet (untuk tiket wild card).

“Takkanlah dari dulu sampai sekarang kita hanya mahu menggunakan saluran tiket wild card untuk beraksi di Sukan Olimpik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan olahraga junior dan remaja KOM semalam.

Jelas Karim, tiga atlet negara yang memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA Singapura lalu menjadi sandaran utama untuk layak secara merit ke Rio.

Ketiga-tiga atlet itu ialah Nauraj Singh dalam acara lompat tinggi, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) serta Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

“Ketiga-tiga atlet ini ada peluang untuk layak secara merit. Tapi sekiranya ada atlet lain yang turut melakukannya secara merit, lagi bagus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:10 AM