Atlet pecut negara, Azreen Nabila Alias. FOTO File NSTP
Atlet pecut negara, Azreen Nabila Alias. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jurulatih M.Balamurugan mahu atlet pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias memanfaatkan peluang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo untuk meraih pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa.

Beliau juga menasihatkan anak didiknya itu supaya bertenang, tidak gentar dan melakukan yang terbaik untuk memecahkan rekod peribadinya dalam acara pecut 100 meter (m) wanita yang akan berlangsung di Stadium Olimpik, di Tokyo.

Menyedari Azreen Nabila mendapat slot 'wild card' pada saat-saat akhir, Balamurugan berkata beliau bersama Institut Sukan Negara kini gigih mempersiapkan atlet berusia 21 tahun itu dari aspek psikologi supaya dapat mempamerkan prestasi terbaik dalam penampilan sulungnya di Olimpik kelak.

"Saya tidak mahu Azreen (Nabila) hilang semangat dan berasa cemas ketika bertanding dengan barisan atlet pecut terbaik dunia di Olimpik nanti.

"Saya harap aspek psikologi yang sedang kita usahakan sekarang akan membantu beliau kelak. Beliau masih muda dan mempunyai potensi besar untuk pergi jauh dalam sukan olahraga," katanya.

Dengan rekod peribadi terbaik 11.81 saat (s) yang dicatatkan di Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak itu, Azreen Nabila layak ke Tokyo selepas menjadi atlet pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang diberikan satu slot "wild card".

Selepas atlet lompat tinggi kebangsaan Lee Hup Wei yang layak secara merit ke Olimpik Tokyo, Persekutuan Olahraga Dunia (WA) menawarkan KOM satu slot 'wildcard' untuk atlet wanita bertanding di Tokyo dan Azreen Nabila telah dipilih.

Kali terakhir Azreen Nabila menyertai kejohanan luar negara ialah di Sukan Sea Filipina 2019, dengan beliau membawa pulang pingat gangsa menerusi acara 4x100m lari berganti-ganti.

Menurut jurulatih berusia 38 tahun itu, tidak mustahil untuk Azreen Nabila, yang berketinggian 155 sentimeter itu, untuk memecahkan catatan terbaiknya, selagi beliau mengekalkan tumpuan dan rentak yang konsisten sepanjang kejohanan itu.

Bagaimanapu,n Balamurugan berkata, berdasarkan penilaian terkini dalam sesi latihan, rekod paling realistik untuk dicapai Azreen Nabila ialah 11.9s ke 12.2s, pada acara yang akan berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 10:09 PM