Piraeus, Greece: Jaringan Thomas Mueller dan Mario Goetze memberikan kemenangan 3-0 Bayern Munich ke atas Olympiakos pada saingan Kumpulan F Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Jaringan pertama Mueller adalah hasil cubaan jarak jauh pada minit ke-52 dan Bayern menambah gol kedua menerusi Goetze sebelum Mueller menyempurnakan penalti pada masa kecederaan untuk mengumpul tiga mata.

“Saya tidak tahu sama ada saya dibantu tuah tuhan Greek tetapi saya anggap jaringan pertama saya itu sebagai dibantu nasib,” kata Mueller.

“Jaringan itu memudahkan tugas kami.”

Olympiakos menang semua tiga perlawanan di tempat sendiri di peringkat kumpulan musim lalu tetapi penampilan mereka kali ini diketuai jurulatih baru iaitu bekas pemain Sporting Portugal Marco Silva, 38, dan kekalahan itu menamatkan catatan 11 kemenangan tanpa kalah yang diharungi selama ini.

Jaringan pembukaan Mueller pasti hangat diperkatakan apabila bola rembatannya itu menuju tepat ke penjuru gawang ketika penjaga gol Olympiakos Roberto gagal berbuat apa-apa.

Jaringan Goetze pada minit ke-88 pula adalah hasil kebijaksanaan serta kepantasan yang dimilikinya apabila melepaskan rembatan dari sudut sukar yang gagal diselamatkan Roberto.

Kekasaran yang dilakukan pemain gantian Olympiakos Arthur Masuaku ke atas Kingsley Koman pula membolehkan Bayern dianugerahkan sepakan penalti dan Mueller tampil menyempurnakannya pada hujung permainan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 8:36 AM