Piraeus, Greece: Pemain tengah Switzerland, Patjim Kasami menjaringkan gol pada babak pertama untuk membantu Olympiakos meraih kemenangan mengejut 1-0 ke atas Juventus pada aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Olympiakos berjaya mengekang asakan hebat Juventus pada babak kedua sekali gus meraih kemenangan kelima berturut-turut di gelanggang sendiri dalam Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu menyaksikan mereka menghuni tangga kedua Kumpulan A di belakang naib juara tahun lalu, Atletico Madrid dengan enam mata. Juventus ketinggalan tiga mata, sama mata dengan Malmo.

"Ia malam menakjubkan dan saya berterima kasih kepada pemain kerana persembahan hebat mereka. Kami jelas sebuah pasukan sejati dan kini hampir meraikan kemaraan," jelas jurulatih Olympiakos dari Sepanyol, Michel.

Gol Kasami hadir pada minit ke-36 selepas asakan bertalu-talu pasukan tuan rumah yang menyaksikan mereka berhak mencatat kemenangan kedua pada peringkat kumpulan.

"Saya berasa hebat dan kami bekerja keras untuk meraih tiga mata. Ini memberikan kami keyakinan bagi baki perlawanan kumpulan," ujar Kasami.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:00 AM