TOURE kembali ke Olympiakos selepas 12 tahun tinggalkan kelab dari Piraeus itu. -Foto Twitter Olympiakos
TOURE kembali ke Olympiakos selepas 12 tahun tinggalkan kelab dari Piraeus itu. -Foto Twitter Olympiakos
AFP

PIRAEUS, Greece: Bekas pemain tengah Manchester City dan Barcelona, Yaya Toure kembali menyertai Olympiakos selepas 12 tahun membuat penampilan di pentas Eropah bersama kelab Liga Perdana Greek berkenaan.

Pemain berusia 35 tahun yang dari Ivory Coast itu menyarung jersi kelab berpangkalan di Piraeu pada musim 2005-2006, meledak tiga gol dalam 20 perlawanan.

Dia kemudian menyertai Monaco sebelum berpindah ke Barcelona, Sepanyol antara musim 2007 hingga 2010.

Selepas pemilik dari Arab menyuntik dana besar kepada Manchester City, Toure adalah antara pemain utama yang dipikat untuk membantu kelab menjulang tiga trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh tujuh musim.

Toure beraksi 230 perlawanan untuk City, meledak 59 gol tetapi dilepaskan pada penghujung musim lalu selepas menjulang trofi, dan pada masa sama, dia juga kecewa apabila jarang diberi peluang beraksi untuk kelab berpangkalan di utara England berkenaan.

Sebelum itu, Toure juga pernah beraksi untuk Metalurh Donetsk di Ukraine (2003-2005) serta Beveren di Belgium (2001-2003).

Setakat ini, maklumat kewangan serta tempoh kontrak mengenai perpindahan Toure ke Olympiakos tidak didedahkan kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 8:23 AM