MUELLER (kiri) meraikan gol hasil sepakan penalti bersama rakan sepasukan.
MUELLER (kiri) meraikan gol hasil sepakan penalti bersama rakan sepasukan.

Berlin: Thomas Mueller menyempurnakan penalti kontroversi pada minit ke-90 ketika Bayern Munich bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan musuh setempat, Augsburg 2-1 manakala Borussia Dortmund pula melakar kemenangan keempat berturut-turut dalam kempen Bundesliga, semalam.

Robert Lewandowski membuka jaringan buat juara bertahan dan pemain antarabangsa Poland itu menghasilkan gol ketika permainan berbaki 13 minit selepas Alexander Esswein memberikan gol pendahuluan buat pelawat sejurus sebelum rehat.

Begitupun, ketika perlawanan dilihat bakal berakhir seri, pengadil menghadiahkan penalti apabila Douglas Costa dijatuhkan Markus Feulner dan ia disempurnakan oleh Mueller.

Jurulatih Bayern, Pep Guardiola menurunkan pemain simpanan kerana mahu mengharungi aksi Liga Juara-Juara menentang Olympiakos awal pagi Khamis ini di Athens dan beliau turut tidak mendapat khidmat Arjen Robben apabila pemain itu cedera pangkal paha.

Musim lalu, Augsburg menang 1-0 hasil jaringan Raul Bobadilla.

“Saya sedar perlawanan itu pasti sukar selepas kami mengharungi rehat antarabangsa tapi ia bukanlah alasan,” kata Guardiola.

“Kami perlu bermain selama 90 minit dan bukannya 45. Sepanjang babak pertama, kami gagal menyaingi lawan dan permainan kami sangat perlahan. Augsburg pula bertahan dengan baik. Pada babak kedua, kami mencipta lebih banyak peluang,” kata pengendali Sepanyol itu.

Dortmund terus menjarakkan diri dengan Bayern selepas memperoleh dua penalti yang disempurnakan pemain antarabangsa Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang dan menewaskan Hanover 4-2 di Arena HDI. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:55 AM