Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Pengurus gudang yang gagal dikesan dalam kebakaran kilang bahan kimia di Kota Kemuning, petang semalam, ditemui rentung dalam premis berkenaan, 10.50 pagi, hari ini.

Anggota bomba menemui Neo Khoon Seng, 55, di bawah timbunan tong bahan kimia, dalam kebakaran kira-kira 5 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd Khairi Daud, berkata pihaknya menyambung operasi mencari mangsa, 8.30 pagi ini.

“Selepas hampir dua jam mencari, kami menemui mangsa yang rentung di bawah timbunan tong bahan kimia.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang oleh polis untuk bedah siasat," katanya.

Dalam kejadian itu, seorang pekerja kilang berkenaan melecur manakala empat lain cedera dan kini mendapatkan rawatan di HTAR.

Gudang itu menyimpan beberapa jenis bahan kimia iaitu 'nitrocellulose UN 2556' (pepejal mudah terbakar) serta 'afcona resin solution UN 1866'; 'printing ink UN 1210' dan 'ethanol/alcohol UN 1170' masing-masing cecair mudah terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 4:13 PM