OPERASI pemadaman membabitkan tiga gudang di Bukit Selambau masih dilakukan hari ini. FOTO Ihsan JBPM
OPERASI pemadaman membabitkan tiga gudang di Bukit Selambau masih dilakukan hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Kebakaran yang membabitkan tiga gudang di Bukit Selambau di sini, malam tadi, sehingga menyebabkan letupan bunga api, dipercayai beroperasi sejak lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, gudang terbabit dipercayai menjalankan operasi memproses aloi kepada aluminium yang diambil dari barang-barang elektronik terpakai.

Beliau berkata, berdasarkan temu bual saksi di lokasi kejadian dengan seorang lelaki warganegara China dipercayai juruteknik kilang berkenaan yang dibantu jurubahasa lelaki tempatan, dia memaklumkan menyedari kejadian itu pada 7.50 malam tadi selepas ternampak api besar dalam kawasan kilang.

"Saksi takut dan terus keluar melarikan diri ikut pintu belakang selain memaklumkan gudang itu beroperasi sejak lima bulan lalu.

"Bagaimanapun, setakat ini punca kebakaran belum diketahui dan siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Zaidy berkata, sehingga 8 pagi ini, bomba masih belum dapat memadamkan api sepenuhnya kerana masih terdapat timbunan barang-barang yang sedang terbakar dan pihak bomba sedang menunggu ekskavator masuk untuk mengorek timbunan bahan-bahan yang masih terbakar.

Media sebelum ini melaporkan tiga gudang yang menyimpan barangan terpakai seperti logam, wayar dan tembaga di Bukit Selambau, di sini, terbakar, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 9:28 AM