ANGGOTA bomba Zhou Ti, 19, yang ditemui selepas 32 jam kini dirawat di hospital.
ANGGOTA bomba Zhou Ti, 19, yang ditemui selepas 32 jam kini dirawat di hospital.

Tianjin (China): Seorang pegawai kanan China mempertahankan tindakan bomba menggunakan air untuk memadam kebakaran gudang bahan kimia selepas tindakan pasukan keselamatan itu diselar pakar asing yang mendakwa ia menyumbang kepada dua letupan besar yang menyebabkan kematian 54 orang, kelmarin.

Lebih sedozen bomba antara yang maut dalam letupan besar di pelabuhan di Tianjin pada lewat Rabu, manakala 700 cedera dengan 71 dalam keadaan parah.

Asap dan api kecil masih dilihat di lokasi kejadian semalam, manakala kontena dan kereta hangus dilihat bertaburan. Seorang anggota bomba juga ditemui selamat, 32 jam selepas terperangkap di situ.

Gudang yang direka untuk menyimpan bahan kimia berbahaya dan toksik mengandungi ammonium nitra, kalium nitrat dan kalsium karbida. Agensi berita Xinhua melaporkan, beberapa kontena disimpan di gudang itu terbakar sebelum letupan berlaku.

Pakar mendakwa kalsium karbida bertindak balas dengan air bagi menghasilkan asetilena iaitu gas yang mudah meletup bererti keadaan mungkin berpunca daripada tindakan bomba menyiram air.

Timbalan ketua jabatan propaganda jabatan bomba China, Lei Jinde mengakui kumpulan pertama bomba menggunakan air, tetapi mempertahankan tindakan mereka.

“Memang kami tahu ada kalsium karbida, tetapi ketika itu tidak tahu sama ada ia sudah meletup. Ketika itu memang tidak siapa pun tahu apa-apa. Bukanlah bomba kami bodoh.

“Gudang itu sangat besar dan tidak siapa tahu lokasi sebenar kalsium karbida disimpan,” katanya.

CCTV melaporkan empat bomba disahkan mati dan 13 masih hilang. Seramai 66 bomba antara ratusan yang dimasukkan ke hospital.

Pakar kimia dari California, David Leggett berkata, letupan asetilena mungkin meledakkan ammonium nitrat. Dua letupan berlaku dalam kejadian itu dengan yang kedua jauh lebih besar berbanding yang awal. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:11 AM