API marak dalam kebakaran awal pagi semalam.
API marak dalam kebakaran awal pagi semalam.
AFP

Kiev: Beberapa anggota bomba dilaporkan terkorban dalam satu letupan kuat ketika sedang berusaha mengawal api di tempat simpanan bahan bakar dalam kejadian yang hampir menyebabkan kebakaran stesen minyak berhampiran di luar ibu negara Ukraine semalam.

Sekurang-kurangnya sembilan tangki menyimpan petrol di gudang di Vasylkiv, 30 kilometer dari Kiev terbakar awal pagi semalam menyebabkan kepulan asap memenuhi ruang udara di kawasan sekitarnya.

Menteri Dalam Negeri Arsen Avakov semalam berkata di Twitter: “Satu letupan kuat di tempat simpanan bahan bakar berhampiran Vasylkiv, beberapa anggota bomba terkorban.”

Katanya, enam anggota bomba juga dimasukkan ke hospital kerana mengalami lecuran.

“Seramai 30 anggota bomba berada di lokasi letupan. Mujur ramai sudah dikeluarkan, namun tiga masih belum dapat dikesan,” katanya.

Rakaman video yang disiarkan dalam laman sosial menunjukkan betapa kuatnya letupan itu, malah menyebabkan beberapa trak bomba yang bergegas ke tempat kejadian terbakar.

“Semuanya terbakar,” kata seseorang dalam rakaman video yang dimuat naik ke YouTube.

Seorang anggota bomba memakai pakaian kalis haba dan topeng dilihat melarikan diri dari tempat kejadian.

“Semua orang tinggalkan tempat ini! Sesiapa yang masih berada di sini, tolong pergi!” kata seorang anggota bomba dalam video terbabit.

Menurut perkhidmatan kecemasan, operasi besar-besaran membabitkan 62 unit bomba dan tiga kereta api yang membawa peralatan serta bekalan air ke kawasan itu untuk mengawal api.

Menurut polis, kebakaran berpunca daripada satu tangki bahan api dan kemudian merebak ke tangki yang lain. Laporan mengatakan ia mungkin disebabkan oleh masalah teknikal, namun punca sebenar belum diketahui sepenuhnya.

Ratusan penduduk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Kementerian pertahanan turut bertindak menghalang api sampai ke pangkalan tentera udara berhampiran yang mempunyai jet pejuang serta simpanan senjata.

Gudang bahan api terbabit dimiliki syarikat Ukraine, BRSM-Nafta yang mengendalikan rangkaian stesen minyak yang KLO.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:10 AM