GELAGAT seorang peserta ketika melalui trek mencabar.
GELAGAT seorang peserta ketika melalui trek mencabar.
 ANTARA laluan mencabar yang perlu dilalui peserta.
ANTARA laluan mencabar yang perlu dilalui peserta.
AKSI peserta kanak-kanak.
AKSI peserta kanak-kanak.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Siri ketiga Kejohanan MPAJ KFC MTB yang diadakan di trek AU2 Keramat, Selangor, baru-baru ini, nyata memberi saingan sengit apabila majoriti peserta adalah dari kumpulan pelumba elit yang ingin membuktikan keupayaan masing-masing.

Dengan laluan trek yang lasak dan menepati piawaian sukan lasak kategori XC (Extreme Challenge), kejohanan anjuran Fun D Cycle Point dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta ditaja oleh KFC Malaysia ini disertai 256 peserta.

Kehadiran peserta elit ini sedikitpun tidak menggentarkan pelumba amatur yang rata-rata berpendapat ia antara cabaran perlu ditempuhi mereka selain keadaan trek yang lasak.

Menariknya, kejohanan ini dipecahkan kepada 11 kategori berbeza yang setiap satunya menjanjikan cabaran dan pengalaman berbeza, seterusnya mampu memantapkan lagi skil kayuhan peserta dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM5,950.

Antaranya ialah kategori Elit yang memerlukan peserta melengkapkan lapan pusingan kayuhan dengan setiap satunya sejauh 1.8 kilometer (km); Terbuka Lelaki (enam pusingan sejauh 1.8 km setiap satu), Terbuka Wanita (tiga pusingan sejauh 1.8 km setiap satu) dan Senior Otai (dua pusingan sejauh 1.8 km setiap satu).

Lebih menarik, turut diperkenalkan ialah kategori Heavyweight iaitu bagi peserta melebihi berat 90 kilogram yang memerlukan mereka berjauh dua pusingan sejauh 1.8 km setiap satu; kategori lapan tahun Campuran (satu pusingan 1.8 km); Remaja 14 tahun (empat pusingan sejauh 1.8 km setiap satu); Master A bagi individu berusia 35 hingga 39 tahun (empat pusingan sejauh 1.8 km setiap satu); Master B bagi individu 40 hingga 49 tahun (empat pusingan sejauh 1.8 km setiap satu) dan Remaja 17 tahun (empat pusingan sejauh 1.8 km setiap satu).

Pengurus Kejohanan MPAJ KFC MTB, Nor Effendy Rosli berkata, kejohanan itu bukan saja diadakan bagi menguji keupayaan, kelasakan dan skil peserta, malah mampu mengasah potensi dalam diri mereka.

Katanya, setiap trek diuji terlebih dulu dan ia menepati piawaian untuk semua peringkat umur dan kategori.

"Biarpun secara dasarnya kejohanan ini untuk berlumba dan membuktikan kemampuan, satu perkara yang tak boleh diketepikan adalah ia mampu memberi pengalaman kepada setiap peserta, termasuk kanak-kanak.

"Kita harap dengan pengalaman yang diperoleh di sini, mereka dapat mengasah dan menajamkan skil serta kemampuan mereka dalam acara berbasikal," katanya.

Menurut Nor Effendy, kejohanan berkenaan akan memasuki siri akhir yang akan berlangsung pada 14 Disember depan dengan konsep sama namun menerusi trek berbeza.

"Untuk setiap siri, kita akan ubah trek yang dilalui peserta. Ini kerana kita mahukan peserta merasai pengalaman serta cabaran baru yang pasti membolehkan mereka menajamkan skil kayuhan.

"Paling utama, kita harap sukan berbasikal kategori XC dikembangkan dan menarik lebih banyak penyertaan tanpa mengira peringkat umur," katanya.

Sementara itu, peserta Mohd Amirul Rashid, 26, yang menyertai kategori Terbuka Lelaki mengakui berpuas hati dengan trek disediakan berikutan ia mencabar dan menguji keupayaannya.

Katanya, sehingga kini dia tidak pernah terlepas menyertai siri kejohanan berkenaan berikutan trek yg disediakan sentiasa berubah dan memang memberi pengalaman kawalan basikal berbeza.

"Dalam sukan ekstrem ini, perkara yang diberi keutamaan lazimnya membabitkan kawalan basikal.

"Namun, sebagai sukan lasak, seboleh-bolehnya peserta akan cuba berkayuh di trek berbeza seperti disediakan di kejohanan ini," katanya.

Menurutnya, dia akan terus menyokong siri kejohanan berkenaan, termasuk pada siri akan datang, demi mengutip pengalaman.

"Pengalaman berkayuh ketika kejohanan atau secara suka-suka memang tidak sama. Waktu kejohanan, adrenalinnya lebih tinggi dan kita akan membuat yang terbaik. Biarpun tak menang, saya berpaus hati kerana berjaya menamatkan cabaran," katanya.

Peserta kategori Heavyweight, Akmal Mustafa, 33, turut mengakui kewujudan kategori itu sedikit sebanyak memberi peluang kepada dirinya untuk membuktikan keupayaan diri.

Katanya, sebelum ini dia terpaksa bersaing dengan peserta lain yang kadangkala menyebabkan dia tidak mampu melakukannya.

"Dulu, memang berat hati bila perlu bersaing dengan peserta lain kerana terasa diri tidak mampu berdasarkan saiz badan.

"Kini dengan adanya kategori ini, saya rasa semangat kembali. Semangat untuk membuktikan kami yang berbadan besar juga mampu berkayuh dengan baik," katanya.

Kejohanan MPAJ KFC MTB Siri Tiga akan tamat menerusi siri akhir pada 14 Disember depan. Menjanjikan pilihan trek berbeza, hadiah lumayan juga menanti peserta, termasuk cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 6:30 AM