BEBERAPA peserta berhenti seketika ketika merentasi anak sungai.
BEBERAPA peserta berhenti seketika ketika merentasi anak sungai.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob.

[email protected].

Cukup lasak tetapi dalam masa sama menyajikan pemandangan dan pe­ngalaman kayuhan yang menarik.

Itu antara kelebihan sirkit akhir Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara Peretak (IKBN)-Taman Mil­lenium, Kuala Kubu Bharu, Selangor, 27 Disember lalu.

Disertai 1,250 peserta membabitkan acara Jamboree dan XC Metro Race, semuanya perlu mengharungi laluan lasak sepanjang 38 kilometer yang dibina khusus di dalam hutan yang pasti turut memberi pemandangan dalam hutan yang indah.

Malah, hujan sehari sebelum pertandingan bermula menjadikan laluan lebih licin, berlecak serta berselut.

Disebabkan itu juga, peserta yang tiba di garisan penamat bermandi lumpur seluruh tubuh dan mengakui trek kali ini cukup menguji mental dan fizikal berbanding siri sebelum ini.

Pelumba XC Metro Race, Fadz­ley Zamri yang menyertai kategori Lelaki Elit dari Melaka menganggap cabaran siri penutup HMMTBGP ini sungguh mencabar berikutan persaingan dari peserta bertaraf pelumba kebangsaan selain keadaan laluan yang lasak.

"Sebelum ini saya mengikuti dua siri perlumaan HMMTBGP di Temerloh, Pahang dan Asahan, Melaka. Kedua-duanya sangat mencabar fizikal dan mental.

"Tak sangka pula siri akhir ini lebih mencabar dan sebagai pelumba yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, saya rasa puas kerana ada kelainan dalam setiap sirkit dan ini memang dinantikan," katanya.

Menurut Fadzley, biarpun tidak menang hadiah, dia berpuas hati kerana berjaya menamatkan perlumbaan dan memperoleh medal penamat.

"Perasaan puas ini timbul kerana laluan memang lasak dan paling utama kerana saingan diberikan peserta lain sungguh hebat.

"Bagi saya, perlumbaan ini memberi pengalaman berharga selain mencungkil bakat serta potensi baru dalam sukan ini," katanya.

Peserta acara Jamboree, Zainuri Hazrim turut mengakui biarpun corak perlumbaan berbeza dengan pelumba acara XC Metro Race, cabarannya tetap sama dan ia memberi pengalaman menarik.

"Sebenarnya ini kali kedua saya mengikuti acara Jamboree HMMTBGP dengan yang pertama pada tahun lalu.

"Walaupun bersifat lebih santai, bagi saya trek ini sungguh menarik kerana ia memberikan dua kombinasi dan pengalaman kepada pelumba iaitu mencabar kemampuan diri dan dalam masa sama melihat keindahan alam," katanya.

Menurut Zainuri, sebelum ini dia sering mengikuti siri perlumbaan dalam hutan, namun ini kali pertama menyertai trek baru yang dibina khas dalam hutan.

"Trek ini secara kasar memang nampak sama tapi bagi pelumba yang biasa bermain trek dalam hutan, mereka tahu bagaimana keadaan sesuatu trek itu.

"Jadi, bagi trek baru sebegini, ia memang sangat mencabar dan menarik kerana keindahannya masih kekal terpelihara," katanya.

Peserta, Muhamad Khairul Mohd Zuki yang kali pertama mengikuti siri perlumbaan HMMTBGP teruja kerana berpeluang mengikuti dan berlumba dalam siri perlumbaan berbasikal yang sa­ngat mencabar.

Katanya, sebelum ini dia hanya mengikuti kayuhan di kawasan kampung dan jalan raya, tetapi peluang berkayuh di dalam hutan memberi kelainan.

"Menarik sebabnya ini kali pertama saya masuk dan berlumba di dalam hutan. Walaupun tak tahu keadaannya, alhamdulillah percubaan pertama berjaya apabila saya menamatkan perlumbaan walapun ia lasak.

"Ini baru betul-betul namanya acara mountain bike disebabkan ia lasak dan mencabar, tapi pada masa sama ia menarik kerana treknya terletak dalam hutan," kata­nya.

Menurut Muhamad Khairul, perlumbaan ini inisiatif terbaik untuk menyemarakkan lagi sukan berbasikal.

Katanya, sektor pelancongan sukan juga mampu diperhebatkan lagi dengan promosi besar-besaran oleh pihak Harian Metro.

"Saya tahu mengenai pertandi­ngan ini daripada rakan saya yang menyertai siri HMMTBGP tahun ini.

"Tertarik dengan gambar serta perkongsian pengalaman mereka, saya ikut serta dan ternyata tak mengecewakan kerana saya bukan sekadar dapat pengalaman berkayuh yang baru, malah kenalan baru.

"Saya harap penganjuran program seperti ini akan diadakan secara berterusan," katanya yang menyertai acara Jamboree Terbuka Lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:00 AM