PESERTA memulakan persaingan sengit. FOTO Aswadi Alias
PESERTA memulakan persaingan sengit. FOTO Aswadi Alias
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DEGUPAN jantung laju, adrenalina memuncak dan bermandi peluh selepas menempuh banyak laluan berbukit serta berbatu. Kepuasan ini yang diburu pemain basikal lasak.

Ini juga membuatkan mereka ketagih untuk mengasak kekuatan fizikal dan mental demi menguasai litar basikal lasak.

Lagi mencabar litar yang dilalui, ia lebih menyeronokkan meskipun memenatkan!

Disebabkan ini, lebih 100 peserta memberanikan diri menguji kemampuan dalam kejohanan basikal lasak Cabaran XCO AU2 Majlis Ampang Jaya (MPAJ) 2023 di Trek Basikal AU2, Taman Keramat, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Antara yang menarik perhatian ialah seorang peserta lelaki merangkul gelaran juara bagi tiga kategori disertainya iaitu lelaki terbuka, bawah 18 tahun dan bawah 21 tahun. Selain itu, turut memenangi tempat ketiga kategori kumpulan relay.

Melihat Sheikh Muhammad Harith Sheikh Mohd Noh, 18, mengendalikan basikal bukit (mountain bike) ditungganginya mendaki dan menuruni bukit dengan laju serta penuh gaya membuatkan ramai terpukau melihat aksinya.

Lebih mengagumkan ialah kehebatan dan keupayaan anak muda ini menamatkan cabaran sejauh lapan kilometer dengan pantas iaitu dalam masa 24 minit untuk satu kategori.

SHEIKH Muhammad Harith tiba di garisan penamat dengan penuh gaya.  FOTO Aswadi Alias
SHEIKH Muhammad Harith tiba di garisan penamat dengan penuh gaya. FOTO Aswadi Alias

Sheikh Muhammad Harith berkata, dia mula menyertai aktiviti basikal lasak pada 2018 atas ajakan rakan-rakannya. Kebetulan dirinya juga peminat aktiviti lasak.

Jatuh hati terhadap aktiviti berkenaan lalu mendorongnya terbabit secara serius.

Setakat ini dia sudah menyertai lebih 300 pertandingan termasuk empat pertandingan peringkat antarabangsa.

"Saya berusaha melakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan disertai. Untuk kemenangan empat kategori hari ini saya memperoleh hadiah wang tunai RM1,150.

"Manakala hadiah kemenangan pertandingan sepanjang tahun ini yang saya menangi hampir RM20,000.

"Wang kemenangan ini saya simpan sebagai pelaburan masa hadapan," katanya.

Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, pengalaman paling mencabar pernah dilalui ialah ketika menyertai pertandingan di Korea Selatan tahun lalu.

PESERTA menaiki bukit. FOTO Aswadi Alias
PESERTA menaiki bukit. FOTO Aswadi Alias

"Litar basikal lasak di negara itu lebih mencabar yang mana keseluruhan litar adalah empat kilometer dan saya perlu menamatkan lima pusingan.

"Pertandingan ini sangat menguji kekuatan mental dan fizikal selain perlu berentap dengan pemain luar yang hebat serta memberikan saingan sengit.

"Alhamdulillah saya dapat menempuh cabaran ini dengan baik. Pertandingan itu juga mendorong saya memperhebatkan latihan," katanya.

Sheikh Muhammad Harith berkata, dia melakukan latihan setiap hari sejauh 80 kilometer (km) selama hampir lima jam bermula seawal 6.30 pagi.

Katanya lagi, dia tidak pernah jemu membuat latihan untuk meningkatkan ketahanan mental apabila penat, yang pada masa sama perlu menamatkan pertandingan.

"Ini kerana saya mempunyai impian menyertai pertandingan lebih besar pada masa hadapan.

"Pernah juga saya kalah dalam pertandingan dan lazimnya segera melakukan penilaian semula untuk membaiki kelemahan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kejohanan XCO MPAJ AU2 Nor Effendy Rosdi berkata, pertandingan itu sudah diadakan selama 10 tahun dan indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan ialah mengadakannya dua kali setahun.

Menurutnya, penganjuran kali ini adalah untuk terus menyokong minat peserta dalam sukan basikal lasak. Ia juga sebagai platform atlet sukan basikal lasak mengasah bakat mereka.

"Kejohanan kali ini turut disertai atlet Sukan Malaysia (Sukma) daripada pelbagai negeri yang sekali gus menjadi medium melahirkan lebih ramai pelapis sukan lasak.

PESERTA merentasi laluan berbatu. FOTO Aswadi Alias
PESERTA merentasi laluan berbatu. FOTO Aswadi Alias

"Sukan ini memerlukan latihan berterusan untuk membentuk mentaliti yang kuat dan hati kental terhadap pemain. Ini kerana setiap litar mempunyai cabaran tersendiri dan sangat menguji kekuatan pelumba," katanya.

Katanya lagi, pemain juga perlu memahirkan kemahiran dan teknik menaiki serta menuruni bukit. Ini bukan sahaja supaya dapat membuat pecutan kayuhan, tetapi juga mengelakkan daripada terjatuh yang mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 7:04 AM