AKSI sewaktu perlumbaan bermula.
AKSI sewaktu perlumbaan bermula.
GELAGAT peserta Terbuka Junior yang menunggu untuk pelepasan perlumbaan.
GELAGAT peserta Terbuka Junior yang menunggu untuk pelepasan perlumbaan.
SEBAHAGIAN peserta berhenti rehat di salah satu laluan.
SEBAHAGIAN peserta berhenti rehat di salah satu laluan.
GELAGAT peserta yang terpaksa menolak basikal ketika melalui kawasan berbukit.
GELAGAT peserta yang terpaksa menolak basikal ketika melalui kawasan berbukit.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Lasak dan sengit. Itu gambaran cabaran laluan Melawati-Kemensah apabila lebih 900 peserta berlumba dalam cabaran Jamborace Melawati 2015 yang diadakan baru-baru ini.

Biarpun halangan yang terdapat sepanjang laluan disifatkan sangat getir dan menguji mental dan fizikal, rata-rata peserta mengakui pengalaman berkayuh sepanjang trek sejauh 40 kilometer itu amat menyeronokkan.

Ini kerana sepanjang laluan 40 kilometer ini, peserta bukan saja dapat merasai kepelbagaian laluan mencabar membabitkan kawasan hutan, ladang getah, laluan berair, berbukit dan licin, malah dapat merasai keindahan panorama alam yang menggamit pandangan.

Berlangsung dalam dua acara berbeza, Melawati Jamborace 2015 memperkenalkan dua pilihan cabaran yang memerlukan mereka berkayuh sejauh 40 kilometer.

Dua pilihan cabaran ini adalah perlumbaan santai (Jambori) dan perlumbaan lasak (Jamborace) yang dibahagikan kepada empat kategori.

Empat kategori Jamborace ini terdiri daripada Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Terbuka Junior dan Terbuka Masters yang menawarkan hadiah keseluruhan RM14,000.

Pengarah Perlumbaan Melawati Jamborace 2015 Nor Effendy Rosli berkata, pihaknya sengaja mewujudkan dua pilihan cabaran iaitu Jambori dan Jamborace bagi memberi pilihan kepada peminat sukan berbasikal.

“Dalam aktiviti berbasikal ini memang kita lihat wujudnya dua kumpulan peminat sukan berbasikal iaitu satu yang suka berlumba dan mencabar keupayaan diri, manakala satu lagi yang gemar aktiviti lasak dan mencabar tapi berkayuh secara santai.

“Disebabkan itu, kita buka dua pilihan cabaran agar kumpulan kedua peminat sukan berbasikal ini dapat merasai cabaran dan nikmat berkayuh di sini,” katanya.

Menurut Nor Effendy, penyertaan bagi kedua-dua acara itu juga amat menggalakkan dan pihaknya bercadang untuk meneruskan dua acara berkenaan dalam program kayuhan akan datang bagi membolehkan dua kumpulan peminat sukan berbasikal ini dapat merasai pengalaman kayuhan bersama pelumba profesional.

“Setakat ini kita memang berpuas hati dengan penganjuran ini kerana ia bergerak dengan lancar biarpun ada rungutan kecil.

“Paling utama, kita mahu peserta rasa seronok biarpun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.

Dalam acara Jamborace, pelumba kebangsaan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi menepati ramalan apabila muncul juara bagi kategori Terbuka Lelaki dengan catatan masa 1 jam 18 minit.

Muhammad Fauzan berjaya mengatasi rakan yang juga pesaingnya Shahrin Amir apabila memintas pelumba itu pada 100 meter terakhir dalam aksi kejar mengejar yang sangat dramatik.

Kemenangan Muhammad Fauzan menyaksikan pelumba itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Tempat ketiga Terbuka Lelaki pula dimenangi oleh Muaz Abd Rahim yang mewakili pasukan Giant.

Dalam kategori Terbuka Wanita pula, pelumba kebangsaan Masziyaton Mohd Radzi yang mewakili pasukan Giant juga menepati ramalan apabila merangkul tempat pertama mengatasi dua pesaing utamanya iaitu Nurdeena Safia Nor Effendy dan Azean Alias.

Namun, tumpuan lebih terarah kepada kemampuan Nurdeena Safia yang mampu memperoleh kedudukan kedua mengatasi beberapa pelumba lebih berpengalaman dan membuktikan sesiapa saja layak menaiki podium asalkan ada semangat untuk bersaing.

“Ayah saya Nor Effendy Rosli adalah bekas pelumba kebangsaan. Dia pencetus semangat dan banyak memberi tunjuk ajar hinggakan keyakinan saya meningkat hari demi hari,” katanya.

Kedua-dua acara Jamborace dan Jambori itu dilepaskan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Abd Hamid Hussain.

Melawati Jamborace 2015 adalah acara perlumbaan berbasikal bersama MPAJ, Sime Darby Property dan Fun D Cycle Point.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:07 AM